Accessibility Tools

Skip to main content

Kerja tanah Kompleks Sukan Bukit Merbau siap, projek infrastruktur capai 51.44 peratus

  • 04 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 38

KOTA DARULNAIM, 4 November – Projek kerja tanah Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh yang membabitkan kos RM68 juta siap sepenuhnya pada 18 Ogos lalu manakala pembinaan infrastruktur dan kerja berkaitan bernilai RM53 juta kini mencapai kemajuan fizikal 51.44 peratus sebagai persiapan Kelantan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-23 pada tahun 2028.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, projek infrastruktur yang dibiayai Kerajaan Negeri Kelantan itu merangkumi pembinaan loji rawatan kumbahan (STP), jalan utama dan jalan dalaman, sistem retikulasi air termasuk tangki air serta rumah pam dan kerja saliran.

"Projek kerja-kerja tanah di Kompleks Sukan Bukit Merbau dengan kos keseluruhan RM68 juta sudah siap sepenuhnya pada 18 Ogos 2026.

"Selain itu, projek pembinaan infrastruktur dan kerja-kerja berkaitan kompleks berkenaan yang dibiayai menerusi peruntukan kerajaan negeri membabitkan kos RM53 juta kini mencapai kemajuan fizikal 51.44 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15, hari ini.

Menurutnya, projek infrastruktur berkenaan dijadualkan siap pada 12 Jun 2027 selepas mendapat lanjutan masa (EOT) kedua berikutan keperluan menyelaraskan semula reka bentuk sistem pembetungan.

Beliau menjelaskan, Kompleks Sukan Bukit Merbau merangkumi enam kemudahan utama iaitu Stadium Utama Bukit Merbau, arena tertutup serba guna, stadium hoki, pusat skuasy, gelanggang longbow berbumbung dan lapang sasar menembak.

Berdasarkan laporan kemajuan sehingga 20 Oktober lalu, Stadium Utama Bukit Merbau mencatatkan kemajuan fizikal 48.21 peratus dan dijadualkan siap pada 24 Jun 2027, manakala lapang sasar menembak mencapai 57.12 peratus dengan sasaran siap pada 19 April 2027.

Stadium hoki pula mencatatkan kemajuan 32.11 peratus dan dijadualkan siap pada 7 Jun 2027, sementara arena tertutup serba guna mencapai 26.58 peratus dengan sasaran siap pada 6 September tahun sama.

Pusat skuasy dan gelanggang longbow masing-masing mencatatkan kemajuan 34.28 peratus serta dijadualkan siap pada 7 Jun 2027.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Zamakhshari memaklumkan Pusat Akuatik Kota Bharu di Madinah As-Salam, Tunjung mencatatkan kemajuan fizikal 39 peratus dan dijangka siap pada 2 Ogos 2027.

Sementara itu, Kompleks Sukan Bandar Jeli mencapai kemajuan fizikal 88.5 peratus dengan sasaran penyiapan pada 31 Disember ini.

Menurutnya, kerja tanah dan jalan masuk utama kompleks berkenaan sudah siap sepenuhnya sebelum melalui fasa persediaan pengoperasian bagi penganjuran SUKMA 2028.

Beliau juga memaklumkan, pembangunan kemudahan sukan tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), termasuk usaha menaik taraf gelanggang serta kemudahan sukan sedia ada.

Selain pembinaan fizikal, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap penyediaan peralatan sukan, utiliti, penyenggaraan gelanggang dan kemudahan sokongan bagi memastikan semua fasiliti dapat beroperasi dengan baik menjelang temasya berkenaan.

Tambahnya, pemantauan berkala bersama KBS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi teknikal berkaitan akan diteruskan bagi menangani isu pelaksanaan serta memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.

Pautan berjaya disalin!