Accessibility Tools

Skip to main content

Pendidikan dan penerangan pertingkat kefahaman masyarakat patuh syariat - YB Mohd Asri

  • 04 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 41

KOTA DARULNAIM, 4 November – Pendidikan dan penerangan berterusan menjadi pendekatan utama Kerajaan Negeri Kelantan dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap undang-undang syariah, sekali gus memperkukuh kesedaran sivik, moral dan pematuhan syariat.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pembentukan masyarakat sejahtera memerlukan komitmen menyeluruh semua pihak dengan pendekatan mendidik dan memberi kesedaran sebagai keutamaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Lama YB Dr. Hafidzah Mustakim pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, siri taklimat dan penerangan rasmi dilaksanakan menerusi kerjasama agensi strategik kerajaan serta kepimpinan komuniti setempat bagi memastikan maklumat berkaitan agama dan perundangan Islam dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Antara tumpuan utama ialah memberikan pencerahan mengenai peranan dan fungsi perundangan Islam, termasuk menjelaskan prosedur serta skop bidang kuasa pihak berkuasa agama bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat berkaitan tindakan terhadap pelanggaran moral.

Dalam pada itu, institusi pendidikan turut menjadi platform penting bagi melaksanakan usaha pencegahan awal menerusi program kesedaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi, khususnya dalam membimbing golongan remaja menjauhi gejala sosial.

“Tindakan undang-undang bukanlah matlamat mutlak, sebaliknya berperanan sebagai benteng terakhir pencegahan, manakala keutamaan kerajaan negeri adalah membina kesedaran individu melalui didikan agama yang kukuh dan berterusan,” jelasnya.

Selain itu, kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut diperkemas menerusi perbincangan rasmi bagi merangka tindakan bersepadu menangani gejala sosial hingga ke peringkat akar umbi.

Usaha penerangan turut diperluas kepada penjawat awam menerusi taklimat khas di pejabat agensi kerajaan bagi memupuk integriti moral serta pematuhan etika perkhidmatan berteraskan nilai Islam.

Dari sudut penguatkuasaan, kerajaan negeri komited memperkukuh infrastruktur logistik dan keupayaan anggota menerusi peruntukan tahunan bagi memastikan rondaan serta pemantauan di kawasan berisiko tinggi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

Menurutnya, persiapan ke arah pelaksanaan enakmen baharu yang lebih komprehensif kini berada di peringkat akhir, termasuk melengkapkan draf perintah kompaun serta merancang penubuhan skuad khas bagi memperkemas mekanisme tindakan penguatkuasaan.

Pada masa sama, masyarakat diseru supaya terbuka menerima didikan dan teguran, manakala ibu bapa serta ketua keluarga perlu memainkan peranan dalam memantau pergerakan ahli keluarga agar sentiasa berpegang kepada nilai agama.

Pautan berjaya disalin!