Accessibility Tools

Skip to main content

Rumah mampu milik Kelantan ditawarkan pada harga RM70,000 hingga RM250,000 – YB Hilmi

  • 04 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 47

KOTA DARULNAIM, 4 November – Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan harga jualan rumah mampu milik antara RM70,000 hingga RM250,000 menerusi Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan (DRMMK) 2026 bagi memperluas peluang pemilikan kediaman dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, dasar baharu itu menetapkan dua kategori rumah mampu milik: Jenis A dengan harga RM70,000 hingga RM180,000 manakala Jenis B ditawarkan pada harga RM180,000 hingga RM250,000.

Menurutnya, penetapan harga berkenaan turut mengambil kira kemampuan pembeli serta kos pembangunan semasa, khususnya peningkatan harga bahan binaan.

"Harga maksimum RM250,000 yang ditetapkan menerusi dasar negeri itu berada di bawah had harga rumah mampu milik peringkat Persekutuan yang ditetapkan kurang daripada RM300,000.

“DRMMK 2026 menetapkan keluasan minimum 850 kaki persegi bagi Jenis A dan 1,000 kaki persegi bagi Jenis B bagi meningkatkan keselesaan serta kualiti kediaman.

“Penetapan ini mengambil kira keseimbangan antara kemampuan pembeli dengan kos pembangunan semasa, khususnya peningkatan kos bahan binaan, di samping menggalakkan lebih ramai pemaju menyediakan rumah mampu milik yang memenuhi kriteria dasar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata DRMMK 2026 merupakan penambahbaikan kepada dasar yang diperkenalkan pada tahun 2015 dan dipinda pada tahun 2020 sebelum dasar terbaharu itu dipekelilingkan pada 18 Mac 2026.

Katanya, dasar berkenaan memberi penekanan kepada penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi, kondusif, berdaya huni serta berteraskan ciri-ciri Islamik demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Dari aspek kelayakan, katanya, dasar itu menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) dengan had pendapatan isi rumah tidak melebihi RM11,000 sebulan.

Peluang pemilikan itu turut diperluas kepada golongan bujang dalam kategori B40 dan M40 berbanding dasar terdahulu yang memberikan keutamaan kepada pemohon berkahwin atau berkeluarga.

Dalam perkembangan sama, YB Hilmi memaklumkan bahawa DRMMK 2026 turut menetapkan kuota pembinaan rumah mampu milik sebanyak 20 peratus daripada jumlah keseluruhan unit pembangunan perumahan swasta bagi memastikan bekalan kediaman mencukupi untuk golongan sasaran.

“Penglibatan pemaju swasta bukan sahaja berperanan dalam memenuhi ketetapan dasar malah turut mencerminkan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam menyediakan rumah mampu milik yang selesa, berkualiti dan berpatutan.

“Pendekatan ini juga selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan keadilan sosial yang menekankan kepentingan akses kepada perumahan sebagai salah satu keperluan asas demi kesejahteraan rakyat Negeri Kelantan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!