Tegas berpendirian, elak fitnah teras penulisan media profesional - YB Nik Bahrum
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 5 Mei – Prinsip tegas dalam penulisan tanpa terjerumus ke kancah fitnah menjadi garis pemisah utama antara kewartawanan beretika dan penyebaran maklumat yang mencemarkan reputasi.
Demikian penegasan Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah ketika merasmikan Bengkel Penulisan Efektif Era Digital di Dewan Teratai Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa penulis boleh berpendirian dan bersikap tegas dalam menyampaikan pandangan, namun tidak sekali-kali boleh mengabaikan batas kebenaran sehingga menghasilkan tulisan berunsur fitnah.
“Secara mudah, sesuatu tulisan boleh menjadi fitnah dalam tiga keadaan. Pertama, apabila kandungannya tidak benar dan tidak dapat disahkan. Kedua, apabila ia merujuk kepada individu tertentu sama ada secara jelas atau melalui bayangan (innuendo) dan ketiga, apabila tulisan itu disebarkan sehingga menjatuhkan maruah atau reputasi pihak berkenaan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kefahaman terhadap garis halus tersebut amat penting dalam era media digital yang pantas dan terbuka, bagi memastikan setiap kandungan yang dihasilkan kekal berintegriti serta tidak menyimpang daripada etika kewartawanan.
Dalam masa sama, beliau yang mengikuti bengkel tersebut dari awal bersetuju bahawa penulisan berita yang menggabungkan unsur kemanusiaan serta disiplin 5W1H perlu diperkasa agar setiap peristiwa dirakam secara tepat, berfakta dan memberi nilai kepada masyarakat.
“Ketika menulis, kita menyusun ayat dan memikul amanah untuk menyampaikan kebenaran, menjelaskan fakta dan membentuk cara fikir masyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan disiplin penulisan termasuk keperluan menyemak fakta, membezakan antara maklumat dan andaian serta mengelakkan emosi berlebihan daripada mempengaruhi kandungan berita.
Beliau turut menyentuh peranan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat sokongan dalam dunia penulisan moden, dengan syarat penggunaannya dikawal secara beretika.
“AI bukan pengganti kepada penulis, sebaliknya alat untuk memudahkan kerja. Dengan prompt (arahan) yang jelas, AI mampu membantu menghasilkan penulisan yang lebih tersusun dan menarik,” ujarnya.
Beliau berharap inisiatif UPKN itu dapat melahirkan penulis yang mahir dan bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat secara beretika, menarik dan berwibawa, seterusnya memperkukuh peranan media sebagai pencatat sejarah yang dipercayai.
Bengkel anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu menampilkan Mantan Pengarang Mingguan Malaysia Ku Seman Ku Hussain sebagai pembimbing.
Mengulas cabaran memulakan penulisan, Ku Seman berpandangan bahawa kebanyakan individu sebenarnya mempunyai kemampuan menulis, namun sering terhalang oleh kecenderungan berfikir secara berlebihan.
“Mulakan dengan satu idea, kemudian jawab persoalan asas iaitu apa, siapa, di mana, bila, mengapa dan bagaimana. Tulis dahulu secara ringkas seperti bertutur sebelum diperhalusi.
"Terokai teknik pemberitaan gaya baharu (new jornalism) yang mementingkan elemen human interest barulah berita segar dan tidak kering,” jelasnya.
Bengkel tersebut disertai 87 penjawat awam pelbagai agensi, termasuk Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.














