Accessibility Tools

Skip to main content

Ladang terbiar dipulih, kembali berhasil dengan sokongan kerajaan negeri

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco dan ADN

TUMPAT, 5 Mei — Sebuah ladang pertanian berkelompok di Kampung Slow Teliar (Perupok), Wakaf Bharu yang sebelum ini terbiar kini kembali mengeluarkan hasil selepas dipulihkan menerusi sokongan kerajaan negeri, sekali gus menghidupkan semula aktiviti ekonomi setempat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata, ladang yang pernah menjadi contoh dalam sektor pertanian setempat itu mengalami kemerosotan sebelum terbiar akibat beberapa kekangan.

“Ladang ini suatu ketika dahulu cukup meriah dan menjadi contoh, namun atas beberapa sebab ia terbiar,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Menurutnya, usaha pemulihan digerakkan dengan membawa perhatian pihak berkaitan bagi mengenal pasti pendekatan terbaik untuk mengusahakan semula kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail tuurt diundang untuk meninjau keadaan sebenar ladang dan merangka langkah pemulihan.

“Sebelum ini, saya ada bawa YB Exco untuk melihat sendiri keadaan dan mencari jalan mengusahakannya kembali,” jelasnya.

Susulan lawatan tersebut, kerajaan negeri melalui portfolio pertanian telah meluluskan peruntukan bagi menyokong usaha menghidupkan semula ladang berkenaan.

Hasil kerjasama pelbagai pihak, kawasan yang sebelum ini terbiar kini diusahakan semula dengan tanaman seperti tembikai dan jagung yang mula mengeluarkan hasil.

“Alhamdulillah, hari ini kita dapat melihat ladang ini kembali mengeluarkan hasil. Tanah yang dulunya terbiar kini sudah ditanam dan memberi pulangan,” katanya.

Beliau optimis perkembangan tersebut mencerminkan keberkesanan inisiatif pemulihan pertanian luar bandar yang mampu mengoptimumkan penggunaan tanah, bahkan membuka peluang ekonomi dan sumber pendapatan kepada penduduk setempat.

Pautan berjaya disalin!