TVET pelajar tahfiz jadi keutamaan kerajaan negeri
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 5 Mei — Usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar tahfiz akan terus diberi keutamaan oleh Kerajaan Negeri Kelantan bagi meluaskan laluan pendidikan kemahiran serta meningkatkan daya saing generasi muda.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi. YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata pendekatan itu bertujuan melahirkan pelajar tahfiz yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang agama, malah memiliki kemahiran teknikal yang diiktiraf.
“Insya Allah, kerajaan negeri akan terus komited dalam memperkukuhkan pendidikan Islam dan TVET supaya pelajar tahfiz mampu menyumbang kepada masyarakat serta pembangunan negeri,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat pelaksanaan pensijilan TVET di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Exco, Mabna, di sini.
Taklimat tersebut disampaikan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pensijilan Kompetensi (BPK), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Siti Hajar Nor yang menjelaskan proses, keperluan serta hala tuju pentauliahan program TVET di institusi tahfiz.
Antara aspek yang diketengahkan termasuk standard pensijilan kemahiran, keperluan akreditasi serta penyelarasan kurikulum bagi memastikan program yang dilaksanakan memenuhi piawaian industri.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abul Bakar, timbalan-timbalan pengarah YIK serta Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran KIAS (KIASDEC). Md Saifullah Abdullah.
Sesi tersebut turut melibatkan penyertaan beberapa institusi tahfiz termasuk Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah Lilbanat, Beta Hulu, SMU(A) At-Taqwa Felda Chiku 2 dan SMU (A) Darul Al-Saadah, Batu Mengkebang.










