Accessibility Tools

Skip to main content

Pembangunan kilang makanan ternakan diselaras

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 4 Mei — Kerajaan Negeri Kelantan menggerakkan mesyuarat penyelarasan pembangunan kilang makanan ternakan sebagai langkah strategik memperkukuh rantaian bekalan industri ternakan negeri.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail mempengerusikan mesyuarat tersebut dengan penyertaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) serta East Coast Economic Region Development Council (ECERDC), di Bilik Mesyuarat Pejabat Exco di Mabna, pada Ahad.

Menurutnya, pembangunan kilang tersebut penting bagi memastikan bekalan makanan ternakan lebih stabil dan berkualiti, sekali gus membantu mengurangkan kos operasi penternak tempatan.

“Walaupun projek ini masih di peringkat perbincangan, ia diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti sektor ternakan sekali gus mengangkat ekonomi agro negeri ke tahap lebih mampan,” katanya menerusi media sosial, semalam.

Beliau berkata, penyelarasan pelbagai agensi berkaitan menjadi kunci utama dalam merealisasikan projek berimpak tinggi itu agar dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menerima kunjungan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Jabatan Pertanian Kelantan bagi membincangkan peranan wanita dalam memperkukuh sektor pertanian.

Tambahnya, pertemuan tersebut membuka ruang perkongsian idea dan pengalaman ke arah memperkasa jaringan serta kebajikan warga PUSPANITA.

“Semoga hubungan yang terjalin ini terus diperkasa demi menyokong pembangunan sektor pertanian yang lebih inklusif dan berdaya saing,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!