Kelantan "nadi" anak perantau
Oleh: Asri Hamat
KOTA DAMANSARA, 4 Mei — Kelantan perlu diletakkan sebagai keutamaan kerana negeri itu merupakan ‘nadi’ kepada setiap anak jatinya, kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud.
Menurutnya, anak Kelantan di perantauan mesti terus memelihara penyatuan serta mempererat hubungan mahabbah sebagai teras memperkukuh kecintaan terhadap negeri, selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).
“Duduklah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan atau di mana-mana sekalipun, apabila tiba masa untuk menunaikan tanggungjawab mengundi, kita perlu kembali kerana Kelantan adalah nadi kita,” serunya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Tahunan Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) Malaysia Kali Ke-20 di Nafas Function Hall, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri mahu anak Kelantan terus mengekalkan hubungan erat sesama mereka agar perpaduan kekal utuh walau di mana berada.
Mengulas lanjut, beliau mengambil contoh kecintaan Nabi Muhammad SAW terhadap tanah kelahirannya, Mekah, sebagai simbol fitrah kasih terhadap tanah air meskipun baginda berhijrah.
Katanya, para ulama turut menegaskan bahawa kecintaan terhadap tempat kelahiran adalah sifat semula jadi yang perlu dipelihara.
“Justeru, kerajaan negeri berharap seluruh anak Kelantan di perantauan menjadikan ‘hubbul watan’ sebagai keutamaan dalam diri masing-masing,” katanya.
Mesyuarat tersebut dirasmikan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan menghimpunkan kira-kira 180 perwakilan mewakili 45 cawangan PERAKAN dari seluruh negara.












