Accessibility Tools

Skip to main content

Projek jalan, perparitan bernilai RM50,000 selesai isu di Kampung Keroh

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto : YB Zubir

KUALA KRAI, 4 Mei — Projek pembinaan jalan dan sistem perparitan di Kampung Keroh kini berada di peringkat akhir pelaksanaan hasil tindakan susulan berterusan serta kerjasama pelbagai pihak, dengan kos keseluruhan bernilai RM50,000.

Inisiatif tersebut dijangka menyelesaikan isu asas yang sekian lama dihadapi penduduk, khususnya masalah jalan berlubang dan air bertakung yang menjejaskan kehidupan harian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata, isu berkenaan telah diangkat sejak tahun lalu bagi mendapatkan perhatian serta peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Alhamdulillah, pada minggu ini projek jalan dan perparitan di Kampung Keroh hampir siap sepenuhnya. Kita menjangkakan masalah jalan berlubang dan air bertakung yang sekian lama membelenggu penduduk akan dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mengutamakan keperluan asas rakyat, khususnya melibatkan kemudahan infrastruktur yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan komuniti.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri atas kecaknaan dan keprihatinan dalam meluluskan peruntukan serta memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!