Accessibility Tools

Skip to main content

Skim Bina Usahawan bantu keluarga OKU berniaga

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Wakaf Bharu

TUMPAT, 4 Mei – Keprihatinan terhadap nasib golongan kurang bernasib baik terus dizahirkan apabila Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah hadir menyampaikan bantuan kepada sebuah keluarga usahawan kecil di Jalan SMK Wakaf Bharu, di sini, Khamis lalu.

YB Mohd Rusli memaklumkan bahawa sumbangan berupa sebuah freezer dan kipas disalurkan di bawah Skim Bina Usahawan kepada pasangan suami isteri, Siti Salwani dan Yusmadi bagi menyokong perniagaan mereka.

Menurutnya, walaupun Yusmadi merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, pasangan tersebut tetap cekal mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menjual aiskrim 1 Malaysia serta makanan ringan di hadapan rumah demi menyara enam orang anak.

“Semangat keluarga ini sangat menyentuh hati dan wajar dibantu. Mereka tidak pernah mengalah walaupun berdepan kekangan fizikal dan cabaran hidup,” katanya menerusi media sosial pada Khamis lepas.

Beliau berharap sumbangan yang diberikan itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga berkenaan, di samping menjadi pemangkin untuk meningkatkan pendapatan serta mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Inisiatif seperti ini diharap dapat terus menyokong golongan usahawan kecil agar mereka mampu berdikari dan memperbaiki taraf hidup keluarga,” ujarnya.

Untuk rekod, Program Skim Bina Usahawan merupakan antara inisiatif berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkasa ekonomi rakyat, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang memerlukan sokongan tambahan untuk menjana pendapatan.

Pautan berjaya disalin!