Kuasa, akhlak dan negara: Perlunya mukmin mahir mentadbir
Oleh: Norzana Razaly
Dalam wacana politik kontemporari, kuasa sering digambarkan sebagai alat neutral. Namun, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan pada 1 Mei 2026 membuka semula perbahasan klasik dalam falsafah politik Islam: kuasa tidak pernah benar-benar neutral, bahkan sentiasa condong kepada nilai yang mendasari pemegangnya.
Dalam erti kata lain, kuasa itu seperti air - jernih jika bersih puncanya, keruh jika tercemar hulunya.
Monopoli legitimasi
Kenyataan beliau, "…ini kerajaan kami, ikut suka kamilah…", yang dikaitkan dengan sikap elit politik, mencerminkan fenomena yang dalam disiplin sains politik disebut sebagai majoritarian absolutism iaitu kecenderungan pihak berkuasa memonopoli legitimasi hanya berasaskan kemenangan pilihan raya, tanpa imbangan etika atau semak imbang moral.
Dalam tradisi Islam, pendekatan ini bertentangan dengan konsep amanah. Firman Allah dalam Surah an-Nisa’ (4:58) menegaskan: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.” Ayat ini mengikat kuasa dengan tanggungjawab moral, bukan sekadar mandat politik.
Seterusnya, Dato’ Dr Mohamed Fadzli menyatakan: “Kuasa politik kalau diberikan kepada orang yang baik dan tinggi pekerti, maka nilai agama akan diutamakan.” Pendapat beliau sejajar dengan konsep al-siyasah al-shar‘iyyah yang menetapkan kepimpinan berfungsi sebagai alat untuk menegakkan maqasid syariah—memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Pemimpin ialah penjaga keseimbangan nilai bukannya hanya pentadbir teknokratik. Dalam konteks ini, hadis Nabi SAW menjadi sandaran: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran.” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini adalah prinsip asas dalam teori legitimasi kepimpinan Islam.
Paradoks klasik
Namun, kenyataan beliau juga membawa dimensi kritikal - “Sekiranya orang baik menjauhkan diri dari politik, maka dengan mudah kuasa akan dipegang oleh orang yang tidak ada agama.” - menyingkap paradoks klasik yang sering dibahaskan oleh sarjana seperti Al-Ghazali yang menyatakan bahawa menjauhkan diri daripada kuasa atas alasan kesucian moral boleh membuka ruang kepada dominasi golongan yang tidak beretika.
Fenomena ini boleh dikaitkan dengan "elite capture" - kekosongan kepimpinan bermoral diisi oleh aktor oportunis. Maka, penglibatan orang mukmin dalam politik adalah keperluan strategik bagi memastikan arah negara tidak terpesong.
Kenyataan Dato’ Dr Fadzli yang lebih tajam, “…bahkan institusi agama negara sekalipun sudah tidak boleh berbuat apa-apa. Sekadar nasihat atau pendapat…”, memperlihatkan kemungkinan berlakunya penyahinstitusian autoriti moral.
Apabila kuasa politik terpisah daripada nilai agama, institusi agama hanya tinggal simbol tanpa kuasa eksekutif. Dalam sejarah politik Islam, keadaan ini pernah dibimbangi oleh Ibn Taymiyyah yang menegaskan bahawa kekuasaan tanpa agama akan melahirkan kezaliman, manakala agama tanpa kekuasaan akan kehilangan keupayaan pelaksanaan.
Ilustrasi empirikal
Contoh yang dibawakan Dato’ Dr Mohamed Fadzli melalui pengalaman mantan Menteri Besar Kelantan almarhum Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi ilustrasi empirikal yang signifikan.
Petikan beliau, “…berpuluh tahun saya mengajar di masjid bahawa arak itu haram… tapi bila saya ada sedikit kuasa… esoknya sudah tidak ada lagi kedai judi dan arak di Kelantan…”, memperlihatkan transformasi daripada kuasa wacana kepada kuasa institusi.
Dakwah tanpa kuasa mungkin menyentuh hati, tetapi kuasa membentuk struktur sosial. Di sinilah letaknya hubungan antara agensi (individu) dan struktur (institusi) dalam membina masyarakat.
Namun, analisis kritis perlu juga mengakui bahawa penggunaan kuasa untuk menegakkan moral memerlukan kebijaksanaan dan keadilan agar tidak tergelincir menjadi autoritarianisme.
Islam sendiri menetapkan prinsip “la ikraha fid-din” (tiada paksaan dalam agama) sebagai garis panduan. Maka, kuasa perlu digunakan dalam kerangka hikmah, bukan paksaan.
Pentingnya kemenangan
Kenyataan penutup beliau, “Itulah pentingnya kenapa kita mesti menang. Hebatkan kuasa”, perlu difahami sebagai penegasan bahawa kuasa adalah instrumen strategik dalam menentukan arah peradaban bukannya sebagai glorifikasi kuasa semata-mata.
Dalam konteks semasa seperti isu Festival Muzik Air di Bukit Bintang anjuran Kerajaan Malaysia pada 30 April hingga 2 Mei 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 berlakunya pertembungan antara nilai budaya, hiburan dan moral agama sekali gus menjadi medan ujian sebenar kepada orientasi kuasa tersebut.
Kesimpulannya, kuasa ialah alat pentadbiran, tetapi lebih daripada itu kuasa ialah amanah yang membentuk wajah masyarakat. Tanpa kehadiran mukmin yang mahir mentadbir dalam struktur kuasa, nilai agama berisiko menjadi suara pinggiran.








