Accessibility Tools

Skip to main content

Potongan bajet kesihatan dibimbangi jejas sistem - Dr Wan Martina

Oleh: Asri Hamat

KUALA LUMPUR, 3 Mei — Cadangan pemotongan bajet sektor kesihatan sebanyak RM5.45 bilion bagi tahun 2026 dibimbangi menjejaskan keupayaan sistem kesihatan negara yang sedang berdepan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta keperluan pengurusan pasca-pandemik, termasuk usaha menaik taraf fasiliti usang khususnya di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Negara YB Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata, langkah tersebut berpotensi memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perkhidmatan kesihatan awam.

“Sistem kesihatan negara kini sedang bergelut dengan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta keperluan pengurusan pasca-pandemik.

“Pemotongan besar ini dikhuatiri akan menjejaskan usaha menaik taraf fasiliti kesihatan yang usang khususnya di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.

Tegasnya, walaupun kerajaan berdepan tekanan fiskal susulan krisis geopolitik global dan peningkatan kos tenaga, sektor kesihatan tidak seharusnya menjadi sasaran utama langkah penjimatan.

Menurutnya lagi, isu kekurangan doktor kontrak dan petugas barisan hadapan masih belum diselesaikan sepenuhnya, sekali gus memerlukan peruntukan mencukupi bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan.

Jelasnya, pengurangan peruntukan operasi berisiko membantutkan usaha pengambilan kakitangan baharu serta meningkatkan beban tugas dan keletihan dalam kalangan petugas sedia ada.

Selain itu, beliau menjelaskan peningkatan kos ubatan dan teknologi perubatan turut menjadi cabaran utama yang perlu diberi perhatian dalam perancangan bajet.

“Pengurangan bajet hanya akan menyebabkan tempoh menunggu rawatan menjadi lebih panjang dan berpotensi meningkatkan kadar kematian yang boleh dicegah,” jelasnya.

Beliau berpandangan, perbelanjaan dalam sektor kesihatan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang memberi pulangan kepada kesejahteraan rakyat dan produktiviti negara.

Tambahnya, pemotongan peruntukan boleh meningkatkan kos yang terpaksa ditanggung sendiri oleh rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan mengadakan libat urus menyeluruh bagi mencari alternatif penjimatan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan.

Beliau turut memaklumkan akan membawa perkara tersebut ke Dewan Negara bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.

“Keselamatan dan nyawa rakyat harus menjadi keutamaan tertinggi dalam setiap keputusan berkaitan belanjawan negara,” tegasnya.

Pautan berjaya disalin!