Accessibility Tools

Skip to main content

Jumaat Hari Ilmu, legasi Tok Guru dilestari - MB Kelantan

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Komunikasi Menteri Besar

KOTA BHARU, 3 Mei — Pengisytiharan Jumaat sebagai Hari Ilmu yang diasaskan Almarhum Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru  Nik Abdul Aziz Nik Mat terus dizahirkan melalui kehadiran konsisten rakyat ke Medan Ilmu bagi mengikuti Kuliah Pagi Jumaat, sekali gus mengekalkan tradisi keilmuan sebagai identiti negeri Kelantan.

Program mingguan itu menyaksikan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang membanjiri Medan Ilmu bagi mendalami pengisian rohani dan memperkukuh kefahaman agama.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, Hari Ilmu merupakan kesinambungan legasi keilmuan yang membentuk jati diri masyarakat.

“Hari Ilmu ini diperkenalkan bagi menggalakkan rakyat mendalami ilmu agama secara konsisten. Ia adalah usaha berterusan kita dalam membina sebuah masyarakat yang bukan sahaja berilmu, malah memiliki akhlak yang tinggi berteraskan nilai-nilai Islam,” katanya dalam media sosial selepas menyampaikan kuliah pada slot kedua di Medan Ilmu, Jumaat lalu.

Menurutnya, amalan menuntut ilmu pada setiap pagi Jumaat selari dengan dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri, yang menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pengisian rohani.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen rakyat yang terus istiqamah menghadiri kuliah serta menyifatkannya sebagai kekuatan utama dalam membina masyarakat berilmu.

“Semoga amalan menuntut ilmu ini terus mekar dalam sanubari setiap anak watan Kelantan. Kita mahu membentuk kehidupan yang bukan sahaja sejahtera secara material, tetapi yang paling utama adalah kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!