Accessibility Tools

Skip to main content

Ride Salor Prihatin himpun lebih 40 anak muda, santuni enam rumah asnaf

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 3 Mei – Program Ride Salor Prihatin Bersama YB Abe Joe berjaya menghimpunkan lebih 40 anak muda dan menyantuni enam buah rumah asnaf di sekitar DUN Salor, bagi misi kebajikan.

Program bermula sejurus selepas solat Asar di Masjid Repek sebelum konvoi anak muda bergerak ke beberapa lokasi terpilih bagi menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan di kawasan berkenaan, sempena cuti am Hari Pekerja serentak dengan cuti hujung minggu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor YB Mohd Saizol Ismail berkata, program tersebut memberi peluang kepada anak muda untuk turun padang bersama pemimpin dan melihat sendiri keadaan kehidupan masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Alhamdulillah saya bersama anak muda pusing DUN Salor, juga menyerahkan zakat kepada asnaf. Terima kasih kepada semua staf Pusat Khidmat DUN dan penyumbang iaitu Air Kelantan Sdn Bhd,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, pada Jumaat.

Menurutnya, pengalaman menziarahi sendiri kediaman asnaf memberi kesedaran mendalam kepada peserta khususnya golongan muda mengenai realiti kehidupan sesetengah masyarakat.

“Kadang-kala kita tidak tahu kesukaran dalam masyarakat kecuali kita jejak kaki ke rumah mereka. Anak-anak muda ini, walaupun nampak lasak, sebenarnya memiliki jiwa yang mudah simpati dan prihatin,” jelasnya.

Program berkenaan melibatkan lawatan ke tiga mukim iaitu Mukim Dewan Beta, Mukim Stan dan Mukim Beta Hulu, dengan dua buah rumah asnaf diziarahi di setiap mukim menjadikan keseluruhan enam rumah menerima kunjungan.

Dalam setiap lawatan, bantuan berbentuk wang tunai serta pek barangan keperluan asas turut disampaikan kepada keluarga terlibat.

"Antara barangan yang diagihkan termasuk beras, bihun, gula, tepung gandum, minyak masak, sardin, teh, susu dan biskut" jelasnya.

Tambahnya, walaupun program tersebut dilaksanakan secara santai tetap memberi impak besar dari sudut keprihatinan sosial dan pembentukan jati diri anak muda.

“Insya Allah, moga menjadi amal walaupun sekadar santai. Dalam kehidupan ini, setiap amalan boleh menjadi ibadah jika dilakukan dengan cara yang betul,” katanya.

Program berkenaan turut diakhiri dengan sesi santai dan mengopi bersama anak muda di sebuah kedai murtabak dan roti canai, sebagai ruang interaksi santai antara pemimpin dan peserta selepas selesai keseluruhan aktiviti ziarah kebajikan.

Pautan berjaya disalin!