Festival Muzik Air: Tindakan lewat kerajaan timbulkan persoalan - Dr. Wan Martina
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Tindakan lewat kerajaan dalam menangani kontroversi Festival Muzik Air Rain Rave 2026 di Bukit Bintang pada 1 Mei menimbulkan persoalan, khususnya apabila teguran hanya dibuat ketika acara tersebut hampir berakhir.
Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, walaupun beliau menyokong pendirian Timbalan Perdana Menteri YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan kepentingan menghormati nilai agama, adab dan sensitiviti masyarakat, namun respon yang diberikan dilihat tidak tepat pada masanya.
Menurut Dr Wan Martina, festival berkenaan telah berlangsung sejak dua hari lalu dan dijadualkan tamat pada 2 Mei, namun arahan untuk meneliti semula penganjurannya hanya dikeluarkan pada saat akhir.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan kerana tindakan yang diambil seolah-olah bersifat ‘damage control’ dan tidak memberi kesan praktikal dalam membendung kebimbangan yang telah dibangkitkan lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau turut merujuk kepada pandangan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan terhadap penganjuran festival berkenaan.
Tambahnya, jika kerajaan benar-benar komited dalam menjaga keharmonian serta identiti negara, mekanisme penapisan dan kelulusan acara perlu diperketatkan di peringkat awal, bukan hanya selepas isu menjadi tular.
“Kerajaan tidak boleh terus bersikap reaktif dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan moral. Pendekatan lebih proaktif perlu diambil bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa hadapan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan serta kementerian berkaitan agar lebih peka dan mengambil kira pandangan pihak berkuasa agama sebelum meluluskan sebarang permit penganjuran acara.
“Janganlah nilai moral masyarakat tergadai hanya kerana ingin mengejar label kemajuan atau liberalisasi hiburan yang tidak terkawal,” tegasnya.








