Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan Sertai Thailand–Malaysia Cultural 2026 perluas kerjasama pelancongan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 3 Mei — Penyertaan Kerajaan Negeri Kelantan dalam program Thailand–Malaysia Cultural 2026 di Wilayah Narathiwat membuka ruang memperluaskan kerjasama dua hala dalam sektor pelancongan dan kebudayaan antara Malaysia dan Thailand.

Program anjuran Narathiwat Provincial Office of Tourism and Sports itu menjadi platform strategik mempererat hubungan serantau melalui pertukaran budaya serta promosi pelancongan rentas sempadan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penglibatan Kelantan dalam program tersebut merupakan langkah signifikan dalam memperkukuh jaringan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang pelancongan dan kebudayaan.

Menurutnya, antara pengisian utama program termasuk persembahan pentas seni budaya, pameran makanan tradisional serta penyertaan produk tempatan yang berpotensi diketengahkan kepada pelancong antarabangsa.

“Antara pengisian utama program ini termasuk persembahan pentas yang mengetengahkan keunikan seni budaya, pameran makanan tradisional serta penyertaan produk tempatan yang berpotensi besar untuk diketengahkan kepada pelancong antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Tambahnya, penganjuran program seumpama itu dijangka menarik kehadiran pelancong dari kedua-dua negara, sekali gus merancakkan sektor pelancongan rentas sempadan yang menjadi antara pemacu ekonomi penting di rantau ini.

“Penyertaan ini bukan sahaja membuka ruang promosi kepada keunikan budaya Kelantan, malah memperkukuh jaringan kerjasama pelancongan serantau yang lebih mampan dan berdaya saing,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!