Accessibility Tools

Skip to main content

Dua exco Kelantan terima diploma TVET

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 3 Mei — Dua Exco Kerajaan Negeri Kelantan menerima pengiktirafan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap Lima dalam bidang Pengurusan Pembangunan Sumber Manusia sempena Majlis Konvokesyen The TVET Champions 2026, sekali gus mengukuhkan peranan kepimpinan negeri dalam pembangunan modal insan dan industri berkemahiran tinggi.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat merupakan antara 140 penerima yang diraikan dalam majlis anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia di bawah Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), Khamis lalu.

Menurut Dato’ Tuan Mohd Saripudin, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama ekonomi.

“Pengiktirafan ini merupakan satu amanah besar untuk terus memperkukuh peranan pemimpin industri dalam merancakkan pembangunan ekonomi negeri melalui tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya dalam kenyataan media pada 30 April.

Beliau berkata, penekanan terhadap aspek “succession planning” atau perancangan pelapis kepimpinan yang diketengahkan dalam majlis tersebut turut menjadi elemen penting bagi memastikan kesinambungan organisasi dan kelestarian prestasi jangka panjang.

Majlis konvokesyen berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan di sebuah hotel di Putrajaya, pada 30 April.

Turut menerima pengiktirafan tersebut ialah Pengurus Besar Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) Mukhlis Mukhtar.

Mengulas lanjut, Dato' Tuan Mohd Saripudin berharap pengiktirafan itu dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pemimpin dan pemain industri untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan TVET.

“Semoga ia menjadi dorongan untuk terus melahirkan generasi berkemahiran tinggi serta memperkukuh daya saing negeri dalam pelbagai sektor,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!