Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Agama seru anjur hiburan berteraskan nilai masyarakat

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 3 Mei — Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan keperluan penganjuran hiburan yang berteraskan nilai, beradab dan selaras dengan jati diri masyarakat Malaysia bagi memelihara kesopanan serta keharmonian sosial.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, kecenderungan ke arah hiburan melampau serta budaya percampuran bebas bukan mencerminkan identiti sebenar masyarakat negara ini, malah bertentangan dengan norma dan pegangan yang dipelihara sekian lama.

Menurutnya, trend penganjuran program berunsur hedonisme, khususnya yang melibatkan percampuran bebas secara terbuka, menimbulkan kebimbangan kerana berpotensi merosakkan akhlak serta mencetuskan perlakuan di luar batas.

“Hiburan bukan sesuatu yang dilarang, namun ia mesti dipandu dengan nilai, adab dan batas yang jelas. Aktiviti berhibur tanpa kawalan, lebih-lebih lagi dalam suasana terbuka, boleh merangsang kecenderungan negatif dan menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas penganjuran program hiburan yang dilihat tidak selari dengan nilai tempatan termasuk acara berunsur kebebasan melampau yang dikaitkan dengan pengaruh budaya luar.

Tambahnya, usaha menjadikan elemen percampuran bebas sebagai tarikan pelancongan adalah tidak wajar, khususnya jika melibatkan penganjuran oleh agensi kerajaan kerana boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap dasar dan pendirian negara.

Dalam pada itu, beliau menegaskan prinsip kesopanan dan kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara perlu dijadikan panduan dalam setiap aspek kehidupan termasuk penganjuran hiburan.
“Malaysia sebagai negara berbilang kaum mempunyai sensitiviti dan garis sempadan nilai yang perlu dihormati. Setiap program yang dianjurkan, khususnya oleh pihak kerajaan, perlu mengambil kira perkara ini agar tidak mencetuskan polemik atau menggugat keharmonian masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri Kelantan telah menggubal Rang Undang-Undang Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2025 sebagai mekanisme kawalan yang komprehensif. 

Katanya lagi, RUU tersebut bertujuan memastikan semua bentuk hiburan dianjurkan dalam kerangka terkawal, sekali gus membendung aktiviti melampau serta yang bercanggah dengan nilai masyarakat. 

“RUU ini menjadi benteng penting dalam memastikan setiap bentuk hiburan mematuhi garis panduan ditetapkan, di samping memupuk budaya hiburan yang sihat dan beretika,” jelasnya.

Beliau turut menyeru pendekatan tersebut diberi perhatian oleh negeri lain serta Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh dasar dan garis panduan berkaitan kawalan hiburan.

“Usaha menarik pelancong tidak seharusnya mengorbankan nilai dan identiti masyarakat. 

Pembangunan sektor pelancongan perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan adab dan keharmonian agar manfaat yang dicapai bukan sahaja bersifat ekonomi, tetapi juga sosial,” katanya.

Pautan berjaya disalin!