Accessibility Tools

Skip to main content

Kuala Krai hab pelancongan sukan ekstrem serantau

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA KRAI, 3 Mei — Kuala Krai terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi sukan lasak dan eco-adventure berimpak tinggi apabila penganjuran 4x4 Kuala Krai Challenge 2026 berjaya menghimpunkan peserta dari Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan serta negara jiran Thailand, sekali gus menyerlahkan potensi daerah ini sebagai hab pelancongan berasaskan alam semula jadi dan aktiviti ekstrem.

Majlis perasmian program disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah yang mewakili Menteri Besar Kelantan di Dataran Hijau, Kampung Laloh, di sini, Jumaat lalu.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman, Ahli Dewan Negeri (ADN) Manek Urai YB Mohd Fauzi Abdullah, Ketua Jajahan Kuala Krai Mohd Shaifudeen Salleh serta pemimpin tempatan dan wakil kelab 4x4.

Dalam ucapannya, YB Hilmi merakamkan penghargaan kepada gabungan NGO tempatan termasuk Lacar Group, PASAK, Task Force, Barracuda Adventure Team dan Kembara Kelate serta kerjasama Urus setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) yang menjayakan penganjuran program tersebut.

Menurutnya, kejayaan penganjuran edisi keempat itu membuktikan sinergi antara NGO, agensi kerajaan dan komuniti mampu melahirkan acara berskala besar yang memberi impak kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.

“4x4 Kuala Krai Challenge ini adalah simbol kekuatan semangat kebersamaan dan daya tahan masyarakat kita dalam pelbagai cabaran,” katanya.

Menurutnya, program tersebut turut menjadi platform memperkukuh ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan peserta, selain mempromosikan Kuala Krai sebagai destinasi pelancongan sukan permotoran di peringkat serantau.

Dalam perkembangan sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas sumbangan RM50,000 bagi menyokong penganjuran program melalui portfolio Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat.


Selain itu, penglibatan komuniti 4x4 dalam pelbagai misi kemanusiaan turut diberi perhatian, termasuk operasi bantuan bencana dan program kebajikan masyarakat.

“Ketika bencana berlaku, mereka ini tampil membantu tanpa mengira penat lelah. Inilah nilai sebenar yang perlu kita suburkan,” jelasnya.

Penganjuran kejohanan ini turut memperkenalkan keunikan geografi Kuala Krai yang kaya dengan keindahan flora dan fauna, sekali gus mengangkat imejnya sebagai destinasi eco-adventure yang semakin berkembang.

Beliau turut menegaskan bahawa nilai seperti disiplin, kesabaran dan semangat tolong-menolong yang dipupuk melalui sukan lasak menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang kukuh dan bersatu.

Pautan berjaya disalin!