Accessibility Tools

Skip to main content

PERAKAN ‘rumah berteduh’ anak Kelantan di perantauan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 3 Mei — Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) disifatkan sebagai ‘rumah berteduh’ yang memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan serta kepentingan anak Kelantan di luar negeri, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau mengakui kekuatan PERAKAN terletak pada kesepaduan ahlinya yang berperanan saling melengkapi seperti komponen sebuah rumah.

“Setiap ahli memainkan peranan masing-masing—ada yang menjadi tiang, dinding, pintu dan atap—yang mengukuhkan lagi organisasi ini.

“Kita perlu berpakat menjaga dan saling membantu antara satu sama lain, khususnya dalam aspek kebajikan serta perkongsian maklumat berkaitan hal ehwal semasa negeri,” katanya menerusi hantaran di media sosial,  pada Sabtu.

Menurutnya, PERAKAN berpotensi terus berkembang sebagai jambatan yang menghubungkan anak Kelantan di perantauan dengan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli PERAKAN dari seluruh negara yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan Mesyuarat Perwakilan Tahunan persatuan berkenaan.

“Tahniah kepada semua ahli yang hadir dan terus memainkan peranan di posisi masing-masing demi negeri Kelantan yang kita sayangi,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan PERAKAN Malaysia Kali Ke-20 Tahun 2025 yang berlangsung di Nafas Function Hall, Kota Damansara.

Untuk rekod, PERAKAN genap dua dekad penubuhannya sejak 2006, dengan usia tersebut diibaratkan sebagai organisasi matang yang terus bertenaga dalam menyantuni komuniti anak Kelantan di perantauan.

Pautan berjaya disalin!