Dua tokoh Kelantan harumkan nama negeri di peringkat kebangsaan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto Media MB, Exco Pendidikan dan MAIK
KOTA DARULNAIM, 3 Mei – Dua anak Kelantan terus mengharumkan nama negeri apabila masing-masing menerima pengiktirafan berprestij di peringkat kebangsaan dan Istana Negara.
Imam Besar Negeri Kelantan Dr Muhammad Hana Pizi Abdullah menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan dan Profesional) sempena sambutan Hari Pekerja 2026, yang disampaikan oleh Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, di Unifi Arena, Bukit Jalil, pada Jumaat.
Beliau yang juga Pegawai Hal Ehwal Agama Islam di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah berkhidmat sebagai imam sejak 2003.
Dr Hana Pizi berkelulusan dalam bidang qiraat dari Universiti Al-Azhar, selain memiliki Sarjana Usuluddin dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Selain aktif dalam bidang pendidikan dan akademik di peringkat antarabangsa, beliau turut menyumbang sebagai penulis, hakim tilawah serta anggota Lajnah Tashih Mushaf.
Sumbangan beliau dilihat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam melalui dakwah, pemeliharaan al-Quran dan pembangunan institusi agama.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Islamiah, Kampung Lepah Selising, Pasir Puteh Nur Fadzilah Aulia Md Fadzil mencipta kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Negeri Kelantan selepas mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Lebih membanggakan, beliau menerima anugerah berprestij itu daripada Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah di Istana Negara pada Khamis lalu.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua tokoh berkenaan atas pencapaian membanggakan itu.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat pula berkata kejayaan Nur Fadzilah mencerminkan kecemerlangan sistem pendidikan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam melahirkan generasi rabbani yang unggul.
“Diharapkan pencapaian ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga YIK untuk terus memperkukuh budaya kecemerlangan serta melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu mengharumkan nama negeri, agama dan negara,” katanya dalam media sosial, semalam.










