Accessibility Tools

Skip to main content

Bekerja ikhlas dan amanah ibadah di jalan Allah — MB Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 2 Mei — Setiap pekerjaan yang dilaksanakan dengan keikhlasan dan amanah dikira sebagai ibadah di jalan Allah, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, prinsip tersebut bertepatan dengan hadis riwayat al-Tabarani yang menegaskan usaha mencari rezeki untuk menyara keluarga, ibu bapa serta menjaga kehormatan diri turut dikira sebagai amalan di jalan Allah.

Menurutnya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
“Jika dia keluar berusaha untuk menyara anak-anaknya yang masih kecil, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar berusaha untuk menyara kedua ibu bapanya yang telah tua, maka dia juga berada di jalan Allah. Jika dia keluar berusaha untuk menyara dirinya sendiri agar menjaga kehormatan, maka dia juga berada di jalan Allah.”

Sehubungan itu, beliau menyeru semua golongan pekerja termasuk sektor awam dan swasta, peniaga dalam talian, pemandu e-hailing, penghantar makanan, petani serta atlet agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan dan integriti demi meraih keredaan Allah.

“Semoga setiap usaha dan titik peluh yang dicurahkan bukan sahaja memberi manfaat di dunia, malah menjadi amal soleh yang diberkati serta mendapat ganjaran di akhirat,” katanya menerusi media sosial sempena Sambutan Hari Pekerja, pada Jumaat.

Di samping itu, beliau juga menegaskan sambutan Hari Pekerja merupakan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para pekerja dalam membangunkan negara.

Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud mengingatkan pekerja agar sentiasa berpegang kepada integriti dan tidak terpengaruh dengan unsur negatif dalam pekerjaan.

Katanya, cabaran dan godaan duniawi tidak seharusnya menggugat prinsip, sebaliknya perlu dihadapi dengan iman dan takwa yang kukuh.

“Hati yang teguh dengan iman akan melahirkan pekerja berintegriti dan memberi impak maksimum dalam melaksanakan tanggungjawab,” tegasnya.

Beliau turut menasihatkan agar setiap individu memastikan sumber rezeki yang diperoleh adalah halal serta menjauhi perkara haram, syubhah dan memudaratkan.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berkhidmat demi agama, bangsa dan negara, khususnya petugas di Kota Darulnaim serta Pusat Khidmat Dewan Negeri (PKD) Demit.

“Bekerjalah dengan niat kerana Allah dan demi manfaat masyarakat. Setiap usaha akan dinilai dan diberi ganjaran yang setimpal,” katanya.

Pautan berjaya disalin!