Accessibility Tools

Skip to main content

Sidang Khas Parlimen segera diminta lindungi Misi Kemanusiaan Malaysia - YB Abdul Latiff

Oleh: Norzana Razaly

KUALA LUMPUR, 1 Mei — Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman mendesak kerajaan Malaysia agar memanggil Sidang Khas Parlimen dalam kadar segera bagi membincangkan mekanisme perlindungan diplomatik terhadap aset serta warga Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan di perairan antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Kaukus Palestin Parlimen Malaysia serta Ahli The League of Parliamentarians for Al-Quds & Palestine berkata, tindakan itu penting susulan insiden yang menimpa peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) yang disifatkan sebagai pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa.

“Parlimen Malaysia perlu menegaskan bahawa sebarang serangan ke atas misi kemanusiaan awam adalah serangan ke atas nilai kemanusiaan sejagat yang didukung oleh Malaysia.

“Saya menuntut agar Malaysia menerajui gerakan di peringkat OIC dan PBB untuk mengenakan sekatan ekonomi dan diplomatik total terhadap rejim yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang antarabangsa,” tegasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, tindakan menghalang kapal sukarelawan di laut antarabangsa merupakan pelanggaran terhadap Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) dan boleh disifatkan sebagai ancaman terhadap keselamatan misi kemanusiaan awam.

Katanya lagi, misi GSF 2.0 yang melibatkan kira-kira 1,000 peserta dengan hampir 100 kapal, termasuk penyertaan sukarelawan dari Malaysia, kini berdepan risiko keselamatan yang membimbangkan.

“Dunia tidak boleh terus membisu apabila misi kemanusiaan ini berdepan ancaman nyawa. Setiap inci hak sukarelawan mesti dikembalikan dan sebarang penahanan haram perlu dibebaskan tanpa syarat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengkritik kelembapan badan antarabangsa dalam menjamin laluan selamat kepada delegasi awam.

“Jika undang-undang antarabangsa tidak lagi mampu melindungi mereka yang membawa makanan, ubat-ubatan dan sukarelawan tanpa senjata, maka undang-undang tersebut telah hilang fungsinya,” ujarnya.

Beliau yang menyertai delegasi Ahli Parlimen Malaysia ke Kongres Sumud Global di Brussels pada 22 April lalu, turut menegaskan bahawa kegagalan bertindak akan membuka ruang kepada penguasaan “undang-undang rimba” di perairan antarabangsa, sekali gus mengancam prinsip kemanusiaan sejagat.

Pautan berjaya disalin!