Accessibility Tools

Skip to main content

Keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama, bukan pengguna semata-mata – YB Hilmi

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 16 Jun – Keselamatan jalan raya tidak boleh menjadi tanggungjawab pengguna jalan raya semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan menyeluruh daripada kerajaan, sektor swasta serta masyarakat bagi mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, usaha memperkukuh keselamatan jalan raya perlu dilaksanakan secara bersepadu memandangkan negara masih berdepan cabaran besar dalam menangani kemalangan jalan raya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Malaysia Kali Ke-62 yang berlangsung di Sama-Sama Hotel, KLIA International, semalam.

Menurutnya, pendekatan yang dibawa MKJR kini berpaksikan konsep Sistem Selamat yang mengiktiraf bahawa kesilapan manusia tidak dapat dielakkan, namun kesilapan tersebut tidak seharusnya menyebabkan kehilangan nyawa.

“Pelbagai pihak termasuk perancang dasar, penguat kuasa, pendidik, pengeluar kenderaan, jurutera jalan raya dan komuniti perlu bersama-sama membina persekitaran jalan raya yang lebih selamat untuk semua pengguna,” katanya di laman rasmi, pada Isnin.

Beliau berkata, statistik menunjukkan lebih 6,600 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di Malaysia sepanjang tahun 2025, sekali gus menggambarkan cabaran besar yang masih perlu ditangani.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 66 peratus melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, manakala golongan belia berusia antara 16 hingga 30 tahun kekal sebagai kumpulan paling berisiko dengan purata 35 peratus kematian setiap tahun.

“Keadaan ini menuntut tindakan lebih menyeluruh daripada semua pihak bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus dipertingkatkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan Menteri Pengangkutan Malaysia telah meluluskan peruntukan RM30,000 kepada setiap MKJR negeri bagi memperkasa agenda kempen keselamatan jalan raya dalam usaha mengurangkan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan.

Katanya, peruntukan tersebut akan membantu negeri-negeri melaksanakan lebih banyak program pendidikan, kesedaran dan advokasi keselamatan jalan raya kepada masyarakat.

“Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk mewajibkan penggunaan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) bagi motosikal baharu 150cc ke atas, penguatkuasaan lebih tegas terhadap kenderaan berat, Program MyLesenB2 Sekolah, Ops Selamat serta audit keselamatan kenderaan perdagangan, negara masih jauh daripada mencapai sasaran pengurangan 50 peratus kadar kematian jalan raya menjelang 2030.

“Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan kesedaran dan pematuhan terhadap aspek keselamatan jalan raya demi melindungi nyawa serta mewujudkan budaya jalan raya yang lebih selamat,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!