Accessibility Tools

Skip to main content

Pembinaan semula bengkel MPV dan blok daif SMK Dabong diperjuangkan

  • 11 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 27

KUALA LUMPUR, 11 November – Keperluan membina semula bengkel mata pelajaran vokasional (MPV) Pendawaian Domestik serta blok bangunan daif di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong terus diperjuangkan Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman bagi memastikan murid di kawasan luar bandar mendapat kemudahan pembelajaran yang selamat dan kondusif.

Beliau membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan isu pendidikan dan infrastruktur sekolah berkenaan dalam sesi Kamar Khas, Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Dewan Rakyat, hari ini.

YB Abdul Latiff memberi perhatian terhadap keadaan bengkel Pendawaian Domestik yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir besar pada Disember 2014 sehingga menjejaskan kelangsungan pembelajaran amali murid.

Menurutnya, keadaan itu perlu diberi perhatian serius memandangkan SMK Dabong merupakan satu-satunya sekolah menengah harian di Kelantan yang menawarkan mata pelajaran Pendawaian Domestik kepada murid Tingkatan Empat dan Lima.

Kerosakan kemudahan berkenaan turut menyebabkan pengambilan murid terpaksa dihadkan daripada 25 kepada 20 orang bagi setiap kelas pada setiap tahun.

Lebih membimbangkan, sejumlah 36 murid terdiri daripada 16 murid Tingkatan Empat dan 20 murid Tingkatan Lima terpaksa menjalani pembelajaran amali dengan menumpang di bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang tidak sesuai untuk tujuan berkenaan.

Walau bagaimanapun, kekangan kemudahan itu tidak menghalang sekolah berkenaan daripada mencatatkan pencapaian akademik yang membanggakan apabila merekodkan kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Pendawaian Domestik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama lima tahun berturut-turut, dari tahun 2021 hingga 2025.

Bahkan, keputusan SPM 2025 menunjukkan sebanyak 18 daripada 22 calon memperoleh gred A+, A dan A- dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 1.50.

Pencapaian itu memperlihatkan keupayaan murid dan tenaga pengajar sekolah berkenaan mengekalkan prestasi cemerlang walaupun berdepan keterbatasan kemudahan pembelajaran amali.

Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri Pendidikan YB Wong Kah Woh memaklumkan bahawa pemeriksaan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Krai pada 17 April 2025 mendapati struktur asal bengkel mengalami kerosakan serius.

Hasil pemeriksaan berkenaan turut mengesahkan bangunan itu tidak lagi ekonomik untuk dibaik pulih dan disyorkan supaya dirobohkan sepenuhnya.

Sementara menunggu pembinaan bengkel baharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi pembekalan peralatan amali secara berperingkat dalam tempoh dua tahun.

Daripada jumlah itu, RM25,000 disalurkan menerusi Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 2024, manakala baki RM25,000 diperuntukkan di bawah RP5 RMK-12 pada 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sedang melengkapkan dokumen teknikal bagi mengangkat permohonan pembinaan bengkel baharu itu sebagai projek di bawah RP3 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk pertimbangan Kementerian Ekonomi.

Selain bengkel MPV, YB Abdul Latiff turut membangkitkan isu keselamatan sebuah blok bangunan enam bilik darjah yang dibina pada 2000 dan mengalami kerosakan akibat banjir besar pada 2014.

Bangunan berkenaan dilaporkan terbiar tanpa bumbung sejak bencana itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan warga sekolah dan persekitarannya.

Beliau turut mengingatkan mengenai kerja pembersihan pascabanjir yang pernah dilakukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bangunan tersebut, namun terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta KPM memberikan komitmen yang jelas berhubung proses pelupusan bangunan berkenaan serta perancangan pembinaan blok baharu bagi menggantikan kemudahan yang telah rosak.

Menjawab soalan tambahan, Timbalan Menteri Pendidikan mengesahkan JKR turut mengesyorkan supaya blok berkenaan dirobohkan berikutan keadaan strukturnya.

JPN Kelantan akan mengemukakan permohonan pelupusan dan pembinaan semula blok baharu secara serentak dengan cadangan pembinaan bengkel MPV untuk dipertimbangkan di bawah RMK-13.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan memberi jaminan bahawa sekolah-sekolah di luar bandar Kelantan tidak akan tercicir daripada agenda pembangunan fizikal KPM.

Pautan berjaya disalin!