Accessibility Tools

Skip to main content

Dasar NRES perlu diteliti semula demi keadilan, peluang ekonomi negeri - Dato' Mumtaz

  • 11 November 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 26

KUALA LUMPUR, 11 November – Beberapa dasar dan perundangan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) perlu diteliti semula bagi memastikan pelaksanaannya lebih adil, berasaskan kompetensi serta tidak menjejaskan peluang pembangunan ekonomi dan profesional tempatan.

Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, penelitian itu penting khususnya dalam pengawalseliaan profesion geomatik, pengurusan unsur nadir bumi (REE), pembangunan pasaran karbon serta pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, sebarang penggubalan atau pindaan undang-undang perlu mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri, pengamal profesional, pemain industri dan masyarakat setempat.

Beliau membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi NRES pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, di sini, hari ini.

Dato' Mumtaz turut menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Akta Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024 (Akta A1730) dan peraturan berkaitan meskipun peruntukan tersebut telah diwartakan berikutan beberapa isu yang masih belum diselesaikan.

Katanya, isu berkenaan membabitkan pelesenan, tender kerja geomatik serta implikasi pengawalseliaan terhadap persaingan pasaran dan peluang perniagaan syarikat geospatial tempatan.

Beliau turut meminta kementerian menjelaskan status tindakan terhadap petisyen yang dikemukakan oleh 14 organisasi profesional, termasuk jumlah pekerja dan firma yang terlibat.

“Selain itu, kementerian perlu menjelaskan sama ada sekatan berkenaan benar-benar meningkatkan keselamatan dan kualiti perkhidmatan atau sebaliknya mengurangkan persaingan pasaran,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan pengiktirafan profesional dalam bidang geomatik dan geospatial dilaksanakan berdasarkan kompetensi khusus, bukannya tertumpu kepada pelesenan satu profesion bagi semua jenis kerja ukur dan pemetaan.

Menurutnya lagi, bidang ukur kadaster, hidrografi, penderiaan jauh, sistem maklumat geografi (GIS), pemetaan utiliti bawah tanah dan teknologi LiDAR memerlukan pengetahuan serta kemahiran berbeza.

Justeru, kelayakan menjalankan kerja ukur hak milik tanah tidak sewajarnya dianggap sebagai bukti automatik seseorang profesional memiliki kompetensi dalam semua disiplin geospatial.

Beliau turut menggesa kementerian meneliti model pengawalseliaan antarabangsa, termasuk amalan di Australia, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan China.

Gesanya, Malaysia boleh mempertimbangkan pendekatan yang membezakan kerja ukur kadaster dengan aktiviti geomatik bukan kadaster bagi memastikan pengawalseliaan lebih berkadar, berasaskan kompetensi dan tidak mewujudkan monopoli profesional yang tidak diperlukan.

Beliau turut mencadangkan mekanisme pengiktirafan kompetensi, pendaftaran atau akreditasi profesional yang bersesuaian dengan perundangan sedia ada, termasuk mengambil kira pengiktirafan graduan dan kelayakan di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Dalam masa sama, Dato' Mumtaz meminta penjelasan berhubung kedudukan bidang kuasa kerajaan negeri di bawah Akta 458 dan Akta A1730, khususnya melibatkan aktiviti geospatial bukan hak milik tanah.

Tambahnya, penelitian perlu mengambil kira pembahagian kuasa Persekutuan dan negeri berdasarkan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan serta implikasi Perkara 75 dan Perkara 76A.

Menyentuh pembangunan REE, Dato' Mumtaz menegaskan kepentingan kerajaan negeri perlu dipelihara dalam kerangka perundangan dan pengurusan mineral strategik negara.

Beliau meminta NRES menyatakan garis masa pemuktamadan kerangka perundangan REE serta pindaan Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525).

Sarannya, Malaysia wajar meneliti model pengurusan mineral di Australia dan Kanada yang memberikan peranan penting kepada kerajaan negeri atau wilayah dalam pengurusan sumber berkenaan.

Dato' Mumtaz turut membangkitkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai mineral kritikal antara Malaysia dengan Amerika Syarikat yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025.

Beliau meminta kerajaan menjelaskan status pelaksanaan MoU tersebut serta langkah memastikan kerjasama antarabangsa tidak menjejaskan kedaulatan sumber mineral negara, kepentingan negeri dan kebajikan komuniti tempatan.

Katanya lagi, pembangunan sektor REE perlu memberikan nilai tambah kepada ekonomi negara dan tidak seharusnya menjadikan Malaysia sekadar pembekal bahan mentah atau bahan separa proses.

Dalam isu pasaran karbon pula, Dato' Mumtaz menegaskan kerajaan negeri yang memelihara hutan, kawasan bakau dan tanah gambut wajar menerima pulangan ekonomi setimpal melalui mekanisme pembahagian hasil kredit karbon.

“Malaysia perlu menjadikan kredit karbon sebagai instrumen perdagangan negara dengan memperjelaskan isu pemilikan kredit karbon, kuasa meluluskan projek, kaedah pengesahan serta pembahagian hasil antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan komuniti setempat,” ujarnya.

Beliau turut meminta perkembangan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan serta garis masa pelaksanaannya, termasuk mekanisme yang memberikan jaminan perundangan kepada kerajaan negeri untuk menikmati manfaat ekonomi daripada usaha pemuliharaan alam sekitar.

"Negeri yang menanggung kos pemuliharaan tidak sepatutnya dibebankan dengan tanggungjawab kewangan tanpa memperoleh pulangan sewajarnya," ulasnya.

Dalam konteks Kelantan, beliau meminta NRES menjelaskan pelan perlindungan menyeluruh bagi ekosistem bakau, pesisir pantai dan biodiversiti pulau-pulau kecil di Tumpat.

Perkara itu dibangkitkan susulan persetujuan Kerajaan Negeri Kelantan pada 16 Julai 2025 untuk mewartakan sebahagian pulau di Delta Tumpat sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Beliau mahu kementerian memperincikan langkah perlindungan bagi keseluruhan pulau kecil berkenaan, termasuk kawasan yang belum memperoleh status HSK.

Sementara itu, Dato'  Mumtaz turut meminta garis masa pembentangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Perubahan Iklim Negara (RUUIKLIM).

Beliau mencadangkan Dana Iklim Kebangsaan menyediakan peruntukan khusus bagi adaptasi perubahan iklim, termasuk tebatan banjir, menangani hakisan pantai dan perlindungan ekosistem bakau.

Tegasnya, mekanisme rundingan dan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu diperjelas dalam penggubalan undang-undang perubahan iklim, terutama yang melibatkan hutan, tanah dan sumber asli.

Beliau juga membangkitkan aspek keselamatan pembangunan perumahan di kawasan bekas lombong dan kuari dengan mencadangkan pewujudan undang-undang mandatori bagi memastikan tanah berisiko bencana tidak dibangunkan sebelum langkah mitigasi dilaksanakan.

“Langkah itu penting bagi memastikan keselamatan pembeli rumah dan orang awam, selain mengelakkan pembangunan perumahan di kawasan yang mempunyai risiko bencana tanpa penilaian serta tindakan sewajarnya,” katanya.

Pautan berjaya disalin!