Sir Asai dinobat TikTok Education Creator of The Year, wakili Malaysia ke Bali
-
10 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
60
KOTA DARULNAIM, 10 November – Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2 Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Sir Asai, melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah TikTok Education Creator of The Year pada TikTok Awards yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada 6 November.
Kejayaan itu turut melayakkan beliau terpilih mewakili Malaysia ke pentas TikTok Awards South East Asia yang dijadual berlangsung di Bali, Indonesia pada 27 November 2026.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menzahirkan ucapan tahniah kepada Sir Asai atas kejayaan merangkul anugerah berkenaan serta terpilih membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Semoga terus melakar kecemerlangan, mengharumkan nama Kelantan dan Malaysia serta menjadi inspirasi kepada warga pendidikan dan generasi muda.
“Selamat berjuang, Sir Asai! Semoga menggapai kejayaan di pentas antarabangsa,” katanya di laman rasmi, pada Ahad.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan kreativiti dan kesungguhan seorang pendidik mampu membawa ilmu pengetahuan melangkaui bilik darjah, sekali gus menyemarakkan pendidikan melalui platform digital.
Beliau turut berharap pencapaian tersebut dapat mengharumkan nama Kelantan dan Malaysia serta menjadi inspirasi kepada warga pendidik dan generasi muda.








