Padi alami Melor hasilkan tuaian pertama lebih 6 tan – Dato’ Tuan Saripudin
-
09 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media Exco Pertanian
-
45
KOTA DARULNAIM, 9 November – Projek penanaman padi alami di Kampung Padang Raja, Melor mencatatkan hasil tuaian pertama melebihi enam tan bagi kira-kira dua ekar tanaman padi wangi MRQ 107 dalam musim pertama pelaksanaannya.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pencapaian itu menunjukkan potensi amalan pertanian organik yang tidak menggunakan baja kimia dan racun dalam pengeluaran padi.
Menurutnya, projek seluas 30 ekar itu melibatkan penanaman dua jenis padi iaitu padi beras wangi dan padi beras pulut menerusi kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dengan Koperasi Desa Gemalai.
“Alhamdulillah, kita memperoleh hasil lebih enam tan bagi keluasan kira-kira dua ekar tanaman padi wangi MRQ 107, iaitu benih baharu daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Program Menuai Padi Alami (Musim Pertama) di Kampung Padang Raja, Melor pada 5 November.
Beliau juga memaklumkan, hasil berkenaan turut menarik perhatian apabila dibandingkan dengan purata hasil padi negeri Kelantan pada 2024 yang mencatatkan sebanyak 3.49 tan sehektar.
Tambahnya, kejayaan tuaian pertama itu turut didukung oleh khidmat nasihat, bimbingan dan sokongan teknikal daripada Jabatan Pertanian Kelantan serta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
“Terima kasih kepada Jabatan Pertanian Kelantan dan KADA atas segala khidmat nasihat, bimbingan serta sokongan teknikal yang diberikan dalam menjayakan usaha ini,” ujarnya.
Beliau berharap projek berkenaan dapat menjadi contoh kepada pelaksanaan amalan pertanian yang lebih lestari dan selamat, selain memberikan nilai tambah kepada sektor padi negeri Kelantan.














