International Monsoon Run 2026 tarik hampir 1,000 peserta
-
08 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
32
PASIR PUTEH, 8 November - Karnival International Monsoon Run Peringkat Jajahan Pasir Puteh 2026 berjaya menarik penglibatan hampir 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk dari luar Kelantan dan negara jiran, Thailand.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, penyertaan memberangsangkan itu membuktikan acara berkenaan semakin mendapat sambutan masyarakat.
Katanya, program anjuran Majlis Daerah Pasir Puteh dengan kerjasama pelbagai jabatan itu bukan sahaja menjadi platform riadah, malah berperanan merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
"Antara tujuan program ini diadakan adalah untuk merapatkan hubungan antara anggota masyarakat setempat, selain memberi peluang kepada peserta dari luar daerah untuk berkenalan dan mengikat silaturahim.
"Di samping itu, program ini juga menjadi aktiviti riadah yang in sha Allah membantu menjaga kesihatan kita."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival International Monsoon Run Peringkat Jajahan Pasir Puteh 2026, di D'Rhu Rehlah, Tok Bali, Semerak di sini, semalam.
Menurutnya, program berkenaan turut mendapat penyertaan peserta daripada pelbagai peringkat umur, bermula daripada golongan dewasa hingga kanak-kanak.
Beliau turut memaklumkan tiada kejadian kemalangan dilaporkan sepanjang acara itu, kecuali seorang peserta yang dipercayai terlalu letih sehingga tidak dapat meneruskan larian dan sudah menerima rawatan sewajarnya.
Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa memberi dorongan dan sokongan terhadap penganjuran program seumpama itu bagi memastikan rakyat bukan sahaja sihat, malah sentiasa ceria.
"Keceriaan dalam tubuh badan, perasaan dan fikiran turut menyumbang kepada kesihatan mental secara keseluruhannya," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud sentiasa memberi perhatian serta menggalakkan penganjuran program seumpama itu di setiap daerah dan peringkat.
Katanya, bagi menyokong usaha berkenaan, sejumlah peruntukan turut disediakan melalui kerjasama Portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bersama Portfolio Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat.
Tambahnya, program International Monsoon Run tersebut dijangka diteruskan pada tahun-tahun akan datang berikutan perkembangan positif dari segi kemeriahan dan peningkatan penyertaan berbanding tahun lalu.
"Insya-Allah, jika trend ini berterusan, kita akan dapat melihat penyertaan lebih ramai peserta dari luar negara pada masa akan datang," ujarnya.
Untuk rekod, International Monsoon Run melibatkan beberapa kategori, antaranya terbuka lelaki dan wanita, veteran lelaki dan wanita dan remaja lelaki dan wanita melibatkan jarak 10 kilometer.
Manakala bagi kategori lelaki dan wanita khas serta kanak-kanak lelaki dan perempuan melibatkan jarak 5 kilometer.
Pelepasan para peserta disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal YB Mohd Rodzi Ja'afar.
Hadir sama, Ketua Jajahan Pasir Puteh merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) Mohd Kamarulzaman Ab Wahab, Ketua Whip MDPP Wan Hassan Wan Ibrahim dan Ahli-ahli Majlis MDPP.
















