Accessibility Tools

Skip to main content

12 usahawan agromakanan, IKS terima Bantuan Agromakanan Al-Falah

  • 09 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Tuan Saripudin
  • 32

KOTA DARULNAIM, 9 November - Sebanyak 12 usahawan agromakanan dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerima Bantuan Agromakanan Al-Falah bagi membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh industri pemprosesan produk tempatan di Kelantan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bantuan berkenaan adalah kesinambungan daripada Bengkel Agromakanan (BAM) yang dilaksanakan Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd pada 5 November.

Katanya, selepas melalui proses pemilihan kelayakan, 12 usahawan terpilih menerima bantuan berupa mesin dan kelengkapan pemprosesan mengikut keperluan industri masing-masing.

Antara peralatan disalurkan termasuk mesin retort, pengisar tahan lasak serta pelbagai kelengkapan lain bagi menyokong operasi pemprosesan produk.

"Inisiatif ini diharap dapat membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkemas proses pemprosesan dan meningkatkan nilai tambah produk tempatan," katanya menerusi di media sosial, pada Khamis.

Menurutnya lagi, lebih ramai usahawan tani turut digalakkan untuk melangkah ke hadapan dengan mengindustrikan sektor agromakanan di negeri ini.

"Kita mahu menghasilkan produk pertanian dan melahirkan produk hiliran yang berkualiti, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran lebih luas," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan Bantuan Agromakanan Al-Falah kepada pengusaha agromakanan dan IKS di Kelantan Organic Research Center (KORC), Machang pada Khamis.

Pautan berjaya disalin!