Accessibility Tools

Skip to main content

Mesyuarat JKKT selaras pelaksanaan dasar dan keputusan MNKT di Kelantan

  • 10 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah
  • 47

KOTA DARULNAIM, 10 November – Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan (JKKT) berperanan sebagai platform penyelarasan dasar dan keputusan Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) di peringkat Persekutuan untuk pertimbangan serta pelaksanaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kelantan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, penyelarasan itu penting bagi memastikan dasar dan keputusan yang dipersetujui dapat diterjemahkan kepada tindakan pentadbiran yang berkesan di peringkat negeri.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan menghimpunkan semua Yang Dipertua dan Setiausaha PBT bersama wakil jabatan serta agensi berkaitan bagi meneliti pelbagai perkara yang memerlukan pertimbangan dan keputusan Kerajaan Negeri.

Beliau memaklumkan perkara tersebut selepas mempengerusikan Mesyuarat JKKT Bil. 3/2026 di Bilik Gerakan Negeri, Tingkat 1, Bangunan MABNA-MBI, di sini, semalam.

Menurutnya, mesyuarat itu turut meneliti beberapa kertas permohonan daripada PBT termasuk permohonan lesen snuker dan biliard oleh Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) serta Majlis Daerah Tumpat (MDT).

“Turut dibentangkan ialah Pelan Tindakan Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam 2030 serta langkah strategik meningkatkan hasil cukai taksiran PBT di Kelantan,” katanya di media sosial, pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan beberapa pencapaian PBT Kelantan dalam bidang pentadbiran, inovasi dan penyampaian perkhidmatan.

Majlis Daerah Machang (MDM) meraih tiga pengiktirafan, iaitu Anugerah Lima Bintang Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT), Anugerah Empat Bintang Penarafan Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2026 dan Anugerah Johan PBT Terbaik Transaksi Tanpa Tunai Tertinggi Tahun 2026.

Manakala MDTM pula muncul johan Public Sector AI Nexus Challenge (PSAINC) 2026 menerusi pembangunan aplikasi MyLicencePBT oleh pasukan SmatyTeam MDTM.

Sementara itu, Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam menerima Anugerah Tahap 1 – Smart City Early Adopter Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia.

“Beberapa PBT lain turut menerima Anugerah Emas dalam Persidangan Nasional Karenah Birokrasi 2026 serta pelbagai Anugerah Inovasi Negeri Kelantan Tahun 2026,” jelasnya.

Beliau berharap semua keputusan mesyuarat dapat disusuli tindakan sewajarnya oleh jabatan, agensi dan PBT berkaitan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan kepada rakyat.

Pautan berjaya disalin!