Accessibility Tools

Skip to main content

Pengurusan tersusun kunci kejayaan perjuangan – Dato' Wan Roslan

  • 10 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Wan Roslan
  • 61

KOTA DARULNAIM, 10 November - Setiap perjuangan yang berlandaskan kebenaran memerlukan pengurusan teratur, perancangan rapi dan pelaksanaan berdisiplin bagi memastikan matlamat yang ditetapkan dapat dicapai.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu selari dengan ungkapan yang sering dinisbahkan kepada Saidina Ali RA, iaitu “الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام” yang bermaksud kebenaran yang tidak tersusun boleh dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.

Menurutnya, tanpa penyusunan gerak kerja yang baik, matlamat yang ingin dicapai mungkin sukar direalisasikan.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di media sosial selepas menyempurnakan perasmian Program Brainstorming Penghulu dan Kaki Tangan Pusat Khidmat DUN (PKD) Pantai Irama yang berlangsung di Rimbara, Puteri Sadong, Bukit Marak, hari ini.

Program kendalian Pengasas dan Fasilitator Pembelajaran Profesional ZD Academy Ventures Zaidy Abdul Talib  itu dilaksanakan menerusi sesi percambahan fikiran, perkongsian pandangan serta perbincangan bagi memperkukuh gerak kerja organisasi.

Katanya, penganjuran program berkenaan bertujuan memperkemaskan pengurusan, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh kesepaduan antara penghulu dan seluruh kakitangan Pusat Khidmat DUN.

"Setiap penghulu dan kakitangan memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kepimpinan dengan masyarakat.

"Justeru, kepekaan terhadap permasalahan rakyat serta kesungguhan mencari penyelesaian perlu sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan semangat kerja berpasukan, disiplin, integriti dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Setiap tugas yang dilaksanakan bukan sekadar tanggungjawab pentadbiran, bahkan merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT," jelasnya.

Beliau berharap segala idea, pandangan dan hasil perbincangan sepanjang program itu dapat diterjemahkan kepada tindakan lebih tersusun dan berkesan demi memperkukuh khidmat kepada rakyat.

Pautan berjaya disalin!