Accessibility Tools

Skip to main content

Kelulusan konsert The Weeknd perlu diperjelas, PUSPAL diminta tampil beri penjelasan – YB Hilmi

  • 11 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 68

KOTA DARULNAIM, 11 November – Pusat Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) diminta memberikan penjelasan berhubung garis panduan serta asas kelulusan konsert antarabangsa The Weeknd: After Hours Til Dawn Tour yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 dan 5 November.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, penjelasan itu penting bagi menjawab persoalan masyarakat berhubung elemen persembahan yang didakwa mengandungi simbol dan unsur dikaitkan dengan pemujaan.

Menurutnya, antara paparan yang mencetuskan kebimbangan ialah patung wanita berwarna emas bersaiz gergasi setinggi 12 meter, selain penari berjubah merah yang menutupi seluruh tubuh dan wajah serta suasana persembahan yang gelap dan dramatik.

Beliau mempersoalkan bagaimana elemen persembahan sedemikian boleh mendapat kelulusan untuk dipentaskan di Malaysia, khususnya apabila ia menyentuh sensitiviti agama dan nilai masyarakat setempat.

“Saya juga menggesa pihak Kementerian Komunikasi, PUSPAL, agensi berkaitan dan penganjur agar memberikan penjelasan tentang kandungan persembahan tersebut serta apakah garis panduan yang digunakan PUSPAL sehingga telah memberikan kelulusan konsert artis antarabangsa ini,” katanya di laman rasmi, pada Ahad.

Beliau menegaskan Islam mengharuskan manusia mengapresiasi seni dan kreativiti dalam batas tertentu.

“Kita tidak menolak hiburan secara keseluruhannya. Islam tidak menghalang manusia menikmati keindahan seni dan kreativiti. Namun, kebebasan hiburan sewajarnya disertai tanggungjawab menghormati nilai agama, akhlak, budaya dan sensitiviti masyarakat setempat. Setiap persembahan ada batasan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pemeliharaan akidah perlu menjadi keutamaan umat Islam, selain sebarang unsur yang dianggap mengagungkan penyembahan selain Allah SWT tidak boleh dipandang ringan.

“Akidah tauhid merupakan asas kehidupan seorang Muslim. Oleh itu, sebarang unsur yang jelas mengagungkan penyembahan selain Allah SWT wajib ditolak,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menyeru Kerajaan Persekutuan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya memberikan maklum balas terhadap isu berkenaan yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

YB Hilmi menegaskan, Malaysia masih boleh menjadi destinasi hiburan antarabangsa tanpa perlu mengorbankan jati diri, kesantunan budaya dan penghormatan terhadap agama.

Pautan berjaya disalin!