YB Kuala Krai desak ketelusan siasatan pencemaran RON95, hak pengguna dibela
-
11 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
34
KUALA LUMPUR, 11 November – Kerajaan didesak mendedahkan syarikat dan stesen minyak yang terlibat dalam isu pencemaran petrol RON95 bagi memastikan pengguna mendapat maklumat jelas serta dilindungi daripada risiko kerosakan kenderaan.
Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, ketelusan hasil siasatan amat penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kualiti bahan api negara, selain memastikan pengguna yang terjejas mendapat pembelaan sewajarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan pertanyaan dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Dewan Rakyat, Parlimen Kelima Belas, Penggal Kelima, Mesyuarat Ketiga pada 5 November.
Dalam pertanyaan asalnya, beliau meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjelaskan keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia terhadap sampel RON95 yang diambil dari lima negeri dan depoh simpanan utama.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai langkah segera kerajaan untuk memulihkan keyakinan pengguna serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyediakan pampasan kepada pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan enjin.
Menjawab pertanyaan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil tindakan sejak menerima aduan pertama pada 3 Oktober 2026.
Sehingga 31 Oktober 2026, pemeriksaan melibatkan lapan jenama stesen minyak di lapan negeri serta tiga depoh syarikat minyak telah dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasa KPDN.
Sebanyak 262 sampel petrol RON95 diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia, merangkumi 259 sampel dari stesen minyak dan tiga sampel dari depoh bagi mengesan kehadiran air atau bahan asing.
Berdasarkan laporan awal bertarikh 29 Oktober 2026 yang melibatkan 43 sampel, kandungan air didapati kurang daripada 0.05 peratus, iaitu di bawah had pengesanan minimum yang dapat dilaporkan, manakala baki sampel masih dalam proses analisis.
Mengulas isu pampasan, KPDN turut mengadakan sesi libat urus dengan syarikat Petron dan Chevron (Caltex) pada 9 dan 21 Oktober 2026 dengan kedua-duanya bersetuju menyediakan bantuan pampasan secara ihsan kepada pengguna yang mengemukakan aduan sahih berserta dokumen sokongan.
Walau bagaimanapun, YB Abdul Latiff menegaskan keperluan kerajaan memberikan penjelasan lebih menyeluruh, khususnya berhubung identiti syarikat dan stesen minyak yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai perbezaan lokasi kejadian, termasuk mengapa aduan pencemaran dilaporkan di negeri tertentu seperti Kedah dan Pulau Pinang, sedangkan negeri lain tidak menunjukkan keadaan sama.
Selain itu, beliau meminta kerajaan meneliti kemungkinan kelemahan kawalan kualiti sepanjang rantaian bekalan bahan api dengan mengambil kira kes pencemaran bahan api yang pernah berlaku di Indonesia.
Beliau turut menuntut jaminan terhadap langkah kawalan lebih ketat akan dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang, selain memastikan pihak yang cuai dipertanggungjawabkan sekiranya terdapat unsur kecuaian.
Menjawab persoalan tambahan itu, Datuk Armizan menjelaskan bahawa aduan yang diterima tertumpu kepada stesen minyak yang menerima bekalan daripada dua syarikat utama, iaitu Caltex dan Petron.
Menurutnya lagi, walaupun analisis awal tidak mengesan kandungan air pada tahap yang boleh dilaporkan, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan kehadiran bendasing lain serta formula campuran bekalan pada tempoh tertentu.
Menteri turut menegaskan bahawa siasatan tidak terhad kepada sampel di stesen minyak semata-mata, sebaliknya meliputi keseluruhan rantaian bekalan bermula dari depoh hingga ke pam pengisian bahan api.
"Dalam usaha memperkukuh kawalan kualiti, KPDN turut melaksanakan penanda aras dengan negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Singapura bagi menambah baik piawaian serta mekanisme pemantauan bahan api negara.
"Usaha itu merangkumi penyelarasan piawaian bersama Jabatan Standard Malaysia, termasuk MS118 bagi petrol dan MS123 bagi diesel, selain melibatkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Jabatan Alam Sekitar bagi memperkukuh aspek pemantauan dan ujian makmal berakreditasi.
"Bagi pengguna yang masih belum memperoleh penyelesaian memuaskan melalui skim pampasan ihsan syarikat minyak, KPDN menyediakan saluran aduan rasmi serta pilihan membuat tuntutan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) atau tindakan sivil," kata menteri.
Selanjutnya, YB Abdul Latiff menegaskan bahawa kepentingan pengguna perlu menjadi keutamaan dalam menangani isu berkenaan, termasuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus, pihak bertanggungjawab dikenal pasti dan pemilik kenderaan terjejas mendapat pembelaan sewajarnya.









