Accessibility Tools

Skip to main content

Fenomena ‘Train to Dabong’ meningkat, YB Abdul Latiff gesa kemudahan stesen dinaik taraf

  • 11 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 44

KUALA LUMPUR, 11 November – Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Abdul Latiff Abdul Rahman menggesa penambahbaikan kemudahan Stesen Kereta Api Dabong diberi keutamaan bagi menampung peningkatan kehadiran pengunjung susulan populariti fenomena pelancongan rel Train to Dabong yang semakin mendapat sambutan.

Beliau berkata, kemudahan stesen sedia ada perlu dinaik taraf seiring dengan perkembangan sektor pelancongan di Dabong yang semakin dikenali sebagai antara destinasi pilihan pengunjung menerusi perkhidmatan kereta api.

Menurutnya, Stesen Kereta Api Dabong masih berdepan kekurangan kemudahan asas termasuk platform dan bumbung yang sempurna, selain kemudahan surau serta tandas yang selesa untuk penumpang.

Menjawab perkara tersebut, Timbalan Menteri Pengangkutan YB Datuk Hasbi Habibollah memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM1.2 juta bagi pembinaan stesen kereta api baharu di Dabong.

Menurut menteri lagi, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) itu kini berada pada peringkat reka bentuk dengan kerja fizikal dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2027.

Dalam sesi sama, YB Abdul Latiff turut membangkitkan perubahan jadual perjalanan perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu serta kesannya terhadap pengguna dan aktiviti pelancongan.

Datuk Hasbi menjelaskan bahawa pelarasan jadual oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bertujuan melancarkan perjalanan sambungan antara perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dengan ERT di Stesen Gemas.

Katanya lagi, KTMB juga bersedia mempertimbangkan penambahan kapasiti perkhidmatan sekiranya terdapat jaminan permintaan tinggi daripada pelancong.

Selain Stesen Dabong, YB Abdul Latiff turut membangkitkan keadaan persekitaran Stesen Kuala Krai yang didakwa kurang terurus sehingga menjejaskan imej bandar berkenaan.

Datuk Hasbi menjelaskan bahawa kementerian akan mengemukakan maklumat terperinci secara bertulis berhubung kemajuan baki jajaran projek naik taraf landasan Mentakab–Kuala Krai–Tumpat yang turut dibangkitkan dalam sesi berkenaan.

Pautan berjaya disalin!