JENDELA Kelantan teliti status projek, capaian internet dan liputan luar bandar
Oleh: Asri Hamat
Foto: FB YB Dato' Wan Roslan
KOTA DARULNAIM, 16 Jun - Jawatankuasa Jalinan Digital Negara (JENDELA) Negeri Kelantan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkembangan pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi dan liputan internet di seluruh negeri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, mesyuarat itu turut meneliti status semasa projek-projek JENDELA serta isu berkaitan capaian internet di negeri ini.
Menurutnya, perbincangan turut merangkumi pembangunan menara telekomunikasi, liputan rangkaian di kawasan luar bandar serta langkah penambahbaikan yang perlu diambil bagi memastikan rakyat Kelantan terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih baik, stabil dan berkualiti.
"Mesyuarat ini turut meneliti status semasa projek-projek JENDELA, isu-isu berkaitan capaian internet, pembangunan menara telekomunikasi, liputan rangkaian di kawasan luar bandar serta langkah-langkah penambahbaikan yang perlu diambil bagi memastikan rakyat Kelantan terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih baik, stabil dan berkualiti," katanya menerusi media sosial pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Jalinan Digital Negara (JENDELA) Negeri Kelantan di Mabna Kompleks Kota Darulnaim pada 14 Jun.
Dato' Wan Roslan berharap kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi persekutuan dan pihak industri diteruskan bagi mempercepatkan usaha memperluaskan liputan digital, merapatkan jurang komunikasi serta memperkukuhkan ekosistem ekonomi digital demi kesejahteraan rakyat Kelantan.
Turut hadir, delegasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diketuai Bukhari Yahya bersama pegawai kanan MCMC Negeri Kelantan dan Wilayah Timur serta para pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang diketuai Wan Illy Liana Wan Mat.












