Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan–Selatan Thailand perkukuh kerjasama pendidikan dan pembangunan sosial

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 15 Jun – Kelantan dan wilayah selatan Thailand terus memperkukuh hubungan dua hala melalui pelbagai bentuk kerjasama dalam bidang keselamatan, pendidikan dan pembangunan sosial bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di kedua-dua wilayah.

Usaha itu dizahirkan melalui kunjungan hormat Dewan Jaringan Intelektual Provinsi Perbatasan Selatan (INC) yang diketuai oleh Usman Awae bersama rombongan kepada Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, hari ini.

Menteri Besar Kelantan berkata, pertemuan tersebut membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan perkongsian pengalaman dalam pelbagai aspek pembangunan masyarakat, khususnya yang melibatkan pendidikan, integrasi sosial dan usaha memperkukuh keamanan.

Menurutnya, INC merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang menghimpunkan rangkaian cendekiawan serta tokoh masyarakat di wilayah selatan Thailand dengan fokus kepada usaha memperkukuh keamanan, pembangunan komuniti dan integrasi sosial melalui pendidikan serta pemikiran strategik.

“Kerajaan Negeri menyambut baik usaha yang digerakkan oleh INC dalam membina masyarakat yang sejahtera dan harmoni melalui pendekatan ilmu, pendidikan serta jaringan kerjasama yang berkesan.

“Pertemuan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin, malah membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas demi manfaat bersama,” katanya di laman sosial rasmi beliau, hari ini.

Beliau berkata, kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan selatan Thailand memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh hubungan dalam pelbagai bidang yang mampu memberi impak positif kepada rakyat.

Tambahnya, kerjasama yang lebih erat antara institusi masyarakat, golongan intelektual dan pemimpin komuniti berupaya menyumbang kepada pembangunan insan, pengukuhan perpaduan serta kestabilan sosial di rantau berkenaan.

“Semoga hubungan yang terjalin ini terus diperkasakan dan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif yang membawa kesejahteraan kepada masyarakat di kedua-dua wilayah,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!