Kelantan peruntukan RM120,000 perkasa inovasi produk biokesihatan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 15 Jun - Program BioFounder Challenge terus memainkan peranan penting sebagai platform yang merangsang kreativiti dan inovasi dalam kalangan usahawan bio tempatan, sekali gus menggalakkan penghasilan produk biokesihatan yang berkualiti, selamat dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berautoriti.
Exco Pertanian, Industri Agro-Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata bagi menyokong pelaksanaan program tersebut, sebanyak RM120,000 telah diperuntukkan bagi penganjuran BioFounder Challenge bagi tahun 2024 dan 2025 sebagai hadiah kepada para peserta yang menyertai cabaran berkenaan.
Katanya, inisiatif tersebut menjadi antara usaha strategik dalam memperkukuhkan pembangunan sektor bio di Kelantan melalui penglibatan usahawan tempatan yang berpotensi menghasilkan produk berdaya saing.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memberi galakan kepada usahawan tempatan untuk terus menghasilkan produk yang inovatif dan berkualiti tinggi.
Exco Pertanian, Industri Agro-Makanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail
“Program ini bukan sahaja memberi ruang kepada peserta mengetengahkan idea dan inovasi baharu, malah membantu meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan agar mampu memenuhi keperluan pasaran semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang BioFounder Challenge di H Elite Hotel, di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Mohd Zulkufli Zakaria serta peserta dan usahawan yang mengambil bahagian dalam program tersebut.
YB Dato’ Tuan Saripudin juga berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyokong pembangunan industri bio tempatan kerana sektor tersebut mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan membuka peluang baharu kepada usahawan.
Menurutnya, usaha memperkasakan sektor bio perlu diteruskan secara berterusan bagi memastikan lebih banyak produk tempatan mampu menembusi pasaran yang lebih luas serta meningkatkan daya saing industri berasaskan bioteknologi dan biokesihatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut.
Menurutnya, kesungguhan peserta dalam membangunkan produk tempatan yang berdaya saing membuktikan bahawa Kelantan memiliki ramai usahawan yang kreatif serta berpotensi untuk berkembang lebih jauh dalam industri biokesihatan.
“Setiap penyertaan yang diterima membuktikan bahawa sektor bio di Kelantan mempunyai masa depan yang cerah sekiranya terus diberikan sokongan dan bimbingan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan proses pemilihan dilakukan secara telus dan profesional, penjurian pertandingan telah dikendalikan oleh panel juri jemputan khas yang terdiri daripada profesional industri serta penyelidik universiti tempatan.
Menurutnya, penglibatan pakar-pakar dalam bidang berkaitan memberi nilai tambah kepada pertandingan dan memastikan setiap produk dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
Beliau berharap program seperti BioFounder Challenge dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor keusahawanan bio di negeri ini.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja membantu melahirkan lebih ramai usahawan bio yang berdaya saing, malah berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Kelantan melalui pembangunan produk tempatan yang inovatif dan berkualiti.










