Operasi bersepadu banteras aktiviti peniaga PATI di Bachok
Oleh: Syamimi Manah
BACHOK, 14 Jun – Operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDBBPI) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membanteras aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar kawasan persisiran pantai Bachok pada Sabtu.
Operasi yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan MDBBPI itu menyasarkan peniaga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, sekali gus memastikan pematuhan terhadap undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan serta melindungi kepentingan peniaga tempatan.
Hasil serbuan yang dijalankan, sebuah motosikal yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perniagaan haram telah disita, manakala kompaun turut dikeluarkan terhadap individu yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Menurut kenyataan MDBBPI, tindakan tersebut diambil mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Pindaan) MDBBPI 2025.
“Pihak MDBBPI sebelum ini telah mengeluarkan amaran awal kepada penjaja terbabit. Namun, kegagalan mereka mematuhi arahan dan meneruskan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran menyebabkan tindakan sitaan serta-merta terpaksa dilaksanakan,” menurut kenyataan di laman rasmi, semalam.
MDBBPI menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan semua aktiviti perniagaan di daerah itu mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.
“Langkah penguatkuasaan yang tegas dan berterusan ini mencerminkan komitmen MDBBPI dalam menegakkan undang-undang kecil daerah, di samping melindungi kebajikan serta hak peniaga tempatan yang sah,” katanya.
Tambah kenyataan itu, tindakan berkenaan juga bertujuan mengekalkan imej Bachok sebagai kawasan pelancongan yang bersih, selamat dan harmoni, selain memastikan persekitaran perniagaan yang lebih teratur untuk manfaat semua pihak.












