Accessibility Tools

Skip to main content

KICW 2026 tarik 20,000 pengunjung

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 15 Jun - Sebanyak 20,000 pengunjung menghadiri Kelantan International Coffee Week (KICW) 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 11 hingga 14 Jun lalu di Gelanggang Seni, di sini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamaruddin Md Nor, menzahirkan rasa bangga atas sambutan menggalakkan yang diterima sepanjang penganjuran program berkenaan.

Beliau berkata, pengunjung dan peminat kopi bertali arus hadir ke Gelanggang Seni untuk menikmati pelbagai varieti dan jenis kopi yang ditawarkan.

"Saya difahamkan mengikut anggaran penganjur, seramai 20,000 pengunjung hadir sepanjang empat hari program ini berlangsung. Alhamdulillah, jumlah itu berjaya melepasi sasaran dan saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup KICW 2026 di Gelanggang Seni, malam tadi.

Program KICW dianjurkan oleh Border Coffee Carnival Malaysia dengan sokongan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dan berjaya menarik penyertaan pengusaha kopi dari Thailand, Vietnam, Brunei serta pengusaha kopi dalam negara. 

YB Datuk Kamaruddin turut merakamkan penghargaan kepada semua pengusaha kopi yang mengambil bahagian dari dalam dan luar negara.

"Mereka datang dari jauh semata-mata untuk menyertai acara ini. Jadi, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta yang datang dari seluruh negara dan juga dari luar negara," katanya.

Tambah beliau, penganjuran KICW mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dan pihak penganjur terhadap perkembangan semasa serta perubahan trend dalam kalangan masyarakat.

"Sebenarnya, kita sedang memberi respons kepada trend yang berlaku sekarang. Nampaknya telah wujud satu budaya minum kopi, terutamanya dalam kalangan golongan muda. Mereka kini lebih banyak minum kopi berbanding teh.

"Itu tidak mengapa dan tiada masalah. Yang penting ialah peningkatan permintaan terhadap kopi ini turut mewujudkan peluang-peluang perniagaan," katanya.

Menurut beliau, peningkatan minat terhadap kopi turut mendorong pertumbuhan perniagaan berkaitan kopi apabila semakin banyak warung dan kedai kopi dibuka di Kota Bharu.

"Kedai kopi di Kota Bharu tumbuh macam cendawan selepas hujan dan semuanya mendapat sambutan. Alhamdulillah, ini baik untuk perniagaan," katanya.

Beliau turut menyifatkan kopi mempunyai nilai tertentu termasuk daripada aspek perubatan, selain kandungan kafein yang terdapat dalam minuman berkenaan.

Dalam pada itu, YB Datuk Kamaruddin berkata, Kelantan berbangga menjadi tuan rumah kepada KICW dan berhasrat meneruskan penganjuran program seumpamanya pada tahun hadapan.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga bercadang mengadakan program khas berkaitan teh pada masa akan datang bagi memberi ruang kepada penggemar minuman berkenaan.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payung, YB Shaari Mat Yaman, ADN Gual Ipoh, YB Zahari Mohamad Nor, ADN Paloh, YB Dato' Shaari Mat Hussain, ADN Kota Lama, YB Dr Hafidzah Mustakim dan Pengarah TIC, Azwan Abdul Rahman.

Pautan berjaya disalin!