Accessibility Tools

Skip to main content

Malaysia perlukan 2,000 beg darah setiap hari - Exco Kesihatan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 15 Jun - Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah setiap hari bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk keperluan rawatan di hospital seluruh negara.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah berkata, keperluan itu penting bagi menampung permintaan pesakit yang memerlukan transfusi darah termasuk mangsa kemalangan, ibu yang mengalami komplikasi kelahiran, pesakit kanser dan talasemia.

Beliau berkata, setiap satu beg darah yang didermakan berpotensi membantu serta menyelamatkan sehingga tiga nyawa.

“Setitis darah yang didermakan bukan sekadar cecair kehidupan, malah membawa sinar harapan kepada pesakit kemalangan, ibu yang mengalami komplikasi kelahiran, pesakit kanser, talasemia serta mereka yang memerlukan transfusi darah secara berterusan."

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di media sosial sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2026 yang disambut pada 14 Jun.

Menurutnya, Kelantan masih berdepan cabaran dalam meningkatkan kadar pendermaan darah apabila data sebelum ini menunjukkan kadar pendermaan darah di negeri itu antara yang terendah di negara ini.

Katanya, hanya sekitar 1.7 peratus penduduk di Kelantan tampil sebagai penderma darah.

“Malah, beberapa kemas kini oleh pihak pengurusan derma darah negeri turut memaklumkan bahawa bekalan darah di Kelantan masih berada di bawah paras selamat dan memerlukan lebih ramai penderma tampil secara konsisten,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Kelantan yang memenuhi syarat kesihatan supaya menjadikan pendermaan darah sebagai amalan berkala bagi membantu memastikan stok darah sentiasa mencukupi.

Katanya, kehadiran orang ramai ke pusat pendermaan darah atau kempen pendermaan bergerak mampu membantu mengekalkan bekalan darah untuk kegunaan kecemasan serta rawatan pesakit yang memerlukan.

“Marilah kita bersama-sama menjadi wira tanpa nama dengan menyumbang darah secara sukarela. Setitis darah anda mampu memberi harapan baharu dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Pautan berjaya disalin!