Caj RM1 ATM dimansuhkan mulai 1 Julai, YB Ahmad Fadhli sifatkan kemenangan rakyat
Oleh: Syamimi Manah
PASIR MAS, 16 Jun — Keputusan institusi perbankan memansuhkan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai antara bank melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) dan mesin kitar semula tunai (SRM) bermula 1 Julai depan disifatkan sebagai kemenangan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang selama ini menanggung kos tambahan bagi urusan perbankan harian.
Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau telah membangkitkan isu tersebut sejak Februari lalu kerana berpandangan caj RM1 yang dikenakan bagi setiap transaksi pengeluaran antara bank memberi kesan langsung kepada pengguna, terutama mereka yang kerap menggunakan perkhidmatan ATM.
Menurutnya, isu berkenaan turut melibatkan penduduk luar bandar yang mempunyai pilihan terhad untuk mengakses perkhidmatan perbankan.
“Alhamdulillah, hari ini rakyat Malaysia akhirnya didengari. Keputusan menghapuskan caj RM1 ini merupakan satu hadiah kepada rakyat dan membuktikan bahawa suara masyarakat tidak boleh dipandang ringan,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.
Beliau berkata, walaupun caj RM1 dilihat kecil, kos tersebut menjadi beban tambahan apabila melibatkan transaksi yang dilakukan secara kerap oleh pengguna.
“Perkara yang menyentuh kebajikan rakyat perlu diberikan perhatian. Apa yang penting ialah memastikan sistem kewangan lebih mesra pengguna dan tidak membebankan rakyat dengan caj yang tidak perlu,” ujarnya.
Tambahnya, penghapusan caj berkenaan membuktikan bahawa pandangan yang disuarakan demi kepentingan rakyat mampu membawa perubahan positif apabila diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan.
Terdahulu, bank-bank di Malaysia mengumumkan penghapusan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank melalui ATM dan SRM berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.








