Peruntukan selenggara jalan Kelantan naik 5.7 peratus kepada RM202.10 juta
Oleh: Asri Hamat
Foto: FB YB Dato' Dr. Izani
KOTA DARULNAIM, 16 Jun — Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM202.10 juta bagi penyelenggaraan jalan di seluruh negeri pada tahun 2025, meningkat sebanyak RM10.97 juta atau 5.7 peratus berbanding RM191.13 juta yang diperuntukkan pada tahun 2023.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, peningkatan peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan infrastruktur jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselesaan dan keselamatan pengguna.
Beliau memaklumkan, perkara itu dibentangkan oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan menerusi taklimat Pengurusan Peruntukan Penyelenggaraan Jalan Negeri Kelantan yang diadakan di pejabatnya, hari ini.
“Peruntukan yang disediakan meliputi pelbagai skop kerja termasuk penyelenggaraan berkala, kerja penurapan semula (resurfacing) dan penandaan jalan (road marking), penyelenggaraan luar jangka, penyelenggaraan elektrik dan mekanikal, longkang, serta jalan bandaran, jalan kampung dan jalan pertanian.
“Kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada aspek penyelenggaraan dan peningkatan infrastruktur jalan kerana ia merupakan nadi perhubungan yang menyokong aktiviti ekonomi, mobiliti rakyat dan pembangunan negeri secara menyeluruh,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan rangkaian jalan negeri turut merekodkan pertambahan ketara dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, panjang keseluruhan rangkaian jalan negeri meningkat sebanyak 1,191.93 kilometer (km), daripada 20,997.24 km pada tahun 2023 kepada 22,189.17 km pada tahun 2025.
Tambahnya, pertambahan jaringan jalan itu mencerminkan perkembangan pembangunan infrastruktur negeri yang memerlukan perhatian berterusan dari aspek penyelenggaraan dan pengurusan bagi memastikan kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan secara optimum oleh rakyat.








