Kelantan tiada pakar bedah kardiotoraks,
proses kelulusan klinik pergigian swasta lambat - YB Abdul Latiff
-
18 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
38
KUALA LUMPUR, 18 November - Ketiadaan pakar bedah kardiotoraks di Kelantan sehingga menyebabkan pesakit terpaksa menunggu rawatan sehingga empat bulan antara isu kesihatan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Abdul Latiff Abdul Rahman, dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Rakyat, semalam.
Ketika membahaskan peruntukan B.022400 berkaitan kardiotoraks, beliau meminta kerajaan menjelaskan tindakan segera yang diambil bagi menangani kekurangan pakar dalam bidang berkenaan di Kelantan.
Katanya, ketiadaan pakar bedah kardiotoraks di negeri itu difahamkan menyebabkan tempoh menunggu pesakit mendapatkan rawatan boleh mencecah sehingga empat bulan.
Selain itu, ketika menyentuh peruntukan B040000 berkaitan kesihatan pergigian, YB Abdul Latiff turut membangkitkan isu kelewatan kelulusan operasi klinik pergigian swasta, khususnya membabitkan pengeluaran Borang C oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
Menurutnya, proses kelulusan berkenaan dikatakan mengambil masa antara empat hingga enam bulan sehingga menimbulkan beban kewangan kepada pengusaha klinik.
Jelasnya, keadaan itu lebih membebankan apabila klinik sudah siap sepenuhnya selepas menjalani kerja pengubahsuaian yang menelan belanja ratusan ribu ringgit, selain peralatan pergigian turut tersedia, namun masih tidak dibenarkan beroperasi kerana menunggu kelulusan.
"Sepanjang tempoh menunggu itu, pengusaha perlu terus menanggung bayaran sewa premis, ansuran pinjaman serta komitmen kewangan lain tanpa memperoleh sebarang pendapatan," katanya.
Lebih membimbangkan, katanya, terdapat aduan mengenai kesukaran menghubungi pihak CKAPS bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini permohonan.
"Situasi itu menyebabkan pengusaha berdepan dilema kerana jiks tidak beroperasi bermakna mereka terus menanggung kerugian, manakala tindakan memulakan operasi tanpa kelulusan pula boleh mengundang risiko tindakan penguatkuasaan," ujarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengemukakan tiga persoalan kepada Menteri Kesihatan termasuk sama ada KKM bersedia menetapkan tempoh pemprosesan yang jelas dan munasabah bagi kelulusan Borang C.
Beliau turut meminta penjelasan sama ada CKAPS akan menyediakan sistem pemantauan permohonan serta saluran komunikasi yang lebih responsif bagi memudahkan pengusaha mendapatkan maklumat mengenai status permohonan masing-masing.
Selain itu, beliau ingin mengetahui kesediaan KKM mempertimbangkan pemberian kelulusan operasi sementara kepada klinik yang sudah lulus pemeriksaan dan memenuhi semua syarat keselamatan sementara menunggu kelulusan akhir.








