Accessibility Tools

Skip to main content

Pegawai perubatan pra warta wajar terima imbuhan setimpal – YB Abdul Latiff

  • 18 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 41

KUALA LUMPUR, 18 November - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta menyemak struktur pembayaran dan elaun pegawai perubatan pra warta supaya imbuhan yang diterima setimpal dengan kelayakan serta tanggungjawab kepakaran yang dipikul.

Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latif Abdul Rahman berkata, ketidakadilan timbul apabila pegawai yang sudah menamatkan latihan kepakaran, memiliki kelayakan dan menjalankan tugas pada peringkat pakar masih menerima bayaran mengikut kadar Pegawai Perubatan (MO).

Beliau membangkitkan isu itu ketika perbahasan peringkat Jawatankuasa KKM, di Dewan Rakyat semalam dengan merujuk kepada butiran B020000.

Menurutnya, perjalanan untuk menjadi seorang pakar perubatan bukan mudah kerana seseorang pegawai perlu melalui tempoh latihan yang panjang, bermula dengan dua tahun sebagai Pegawai Perubatan Siswazah (HO), diikuti empat hingga lima tahun sebagai MO sebelum menjalani latihan kepakaran selama kira-kira empat tahun lagi.

"Ini merupakan pengorbanan hampir sedekad yang menuntut komitmen akademik, klinikal dan pengorbanan peribadi yang besar.

"Namun timbul persoalan apabila pegawai yang telah menamatkan latihan kepakaran, mempunyai kelayakan serta menjalankan tanggungjawab klinikal pada peringkat pakar masih dibayar mengikut kadar pegawai perubatan ataupun MO sementara menunggu pewartaan," jelasnya.

Ujar YB Abdul Latiff lagi, proses pentadbiran pewartaan tidak sepatutnya menyebabkan pengiktirafan terhadap kepakaran dan tanggungjawab sebenar pegawai berkenaan tertangguh.

Beliau turut membangkitkan aduan berhubung pegawai pra warta yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak, yang didakwa tidak menerima elaun Bayaran Insentif Penempatan Pakar (BIPP).

Sehubungan dengan itu, beliau meminta kementerian menjelaskan asas ketidaklayakan pemberian elaun berkenaan sekiranya pegawai terbabit sudah memenuhi syarat yang ditetapkan.

Tambahnya, isu berkenaan membabitkan soal wang dan elaun, penghargaan terhadap profesionalisme, pengorbanan serta maruah tenaga pakar negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan menangani perkara itu boleh menjejaskan moral pegawai, selain mendorong penghijrahan pakar ke sektor swasta dan luar negara.

Justeru, beliau meminta penjelasan sama ada KKM bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia menyemak struktur pembayaran sedia ada bagi memastikan pegawai berkenaan menerima imbuhan lebih setimpal berdasarkan kelayakan dan tanggungjawab kepakaran tanpa perlu menunggu proses pewartaan selesai.

"Bilakah penyelesaian konkrit akan dilaksanakan?" soalnya.

Pautan berjaya disalin!