Accessibility Tools

Skip to main content

Impak gesaan MP Kuala Krai, RM12 juta diluluskan bina stesen baharu KTM Dabong

  • 18 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 66

KUALA LUMPUR, 18 November – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM12 juta bagi pembinaan stesen baharu Keretapi Tanah Melayu (KTM) Dabong, sekali gus membuka ruang kepada penyediaan kemudahan pengangkutan rel yang lebih selesa dan kondusif untuk penduduk setempat serta pengunjung.

Kelulusan itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah sebagai respon terhadap gesaan Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman dalam Sidang Kamar Khas, Parlimen Kelima Belas, Penggal Kelima, Mesyuarat Ketiga pada 11 November lalu.

Sebelum itu, YB Abdul Latiff membangkitkan  keadaan fizikal Stesen KTM Dabong yang disifatkan masih usang dan tidak menyediakan kemudahan asas mencukupi, meskipun kawasan berkenaan semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pelancongan menerusi fenomena ‘Train to Dabong’.

Beliau menegaskan, kemudahan stesen yang sempurna amat penting memandangkan ia menjadi antara akses utama penduduk pedalaman, termasuk pelajar sekolah dan pelancong yang berkunjung ke kawasan berkenaan.

“Julukan ‘Train to Dabong’ menjadikan stesen ini tumpuan, namun sehingga kini ia masih tidak mempunyai platform dan bumbung yang sempurna, malah kemudahan surau serta tandas juga tidak selesa,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kekurangan kemudahan tersebut menyukarkan urusan penduduk tempatan dan berpotensi menjejaskan keyakinan pelancong serta pembangunan ekonomi setempat.

Sehubungan dengan itu, beliau mendesak Kementerian Pengangkutan supaya memberikan komitmen jelas terhadap penambahbaikan stesen berkenaan, termasuk memperincikan peruntukan, skop kerja dan garis masa pelaksanaan projek.

Menjawab perkara tersebut, Datuk Hasbi mengesahkan bahawa peruntukan RM12 juta telah disediakan bagi menggantikan struktur stesen sedia ada dengan sebuah stesen baharu yang lebih moden dan selesa.

Menurutnya, projek berkenaan kini berada pada peringkat reka bentuk dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan seliaan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Antara skop utama pembinaan adalah penyediaan platform berbumbung sepanjang 250 meter yang direka bagi menampung operasi tren Diesel Multiple Unit (DMU) tiga koc, selain ruang menunggu lebih luas dan kemudahan sokongan operasi kereta api.

Projek itu turut merangkumi penyediaan surau yang lebih selesa serta tandas awam yang dinaik taraf bagi memenuhi keperluan penumpang.

Berkaitan jadual pelaksanaan, kerja-kerja pembinaan fizikal dijangka bermula pada suku ketiga 2027, namun berpotensi diawalkan sekiranya pemasangan menara telekomunikasi di sepanjang jajaran laluan dapat disiapkan lebih awal.

Dalam perkembangan yang sama, YB Abdul Latiff turut menggesa kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pihak berkuasa tempatan bagi membangunkan pakej pelancongan rel yang bersepadu di Dabong dan Gua Musang.

Beliau juga membangkitkan isu keadaan tanah milik RAC di sekitar Stesen KTM Kuala Krai yang didakwa terbiar dan tidak terurus, selain meminta penjelasan mengenai perkembangan kerja naik taraf landasan bagi jajaran Mentakab–Kuala Krai–Tumpat.

Beliau berharap usaha menaik taraf kemudahan Stesen KTM Dabong itu dapat meningkatkan keselesaan pengguna, khususnya penduduk pedalaman yang bergantung kepada perkhidmatan kereta api, di samping menyokong potensi pelancongan dan kegiatan ekonomi setempat.

Pautan berjaya disalin!