Mesyuarat Exco Kelantan dalam gerabak ECRL
-
17 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
30
KOTA DARULNAIM, 17 November - Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan kali ini berlangsung dalam suasana berbeza apabila diadakan di dalam gerabak Commissioning Inspection Train (CIT) atau tren pemeriksaan dan pengujian yang digunakan dalam proses pentauliahan sistem Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Gombak, Selangor.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, pengalaman tersebut memberi peluang kepada beliau bersama barisan Exco meneruskan urusan pentadbiran negeri dalam suasana baharu, tanpa mengetepikan perkara penting berkaitan pembangunan negeri dan kepentingan rakyat.
Menurutnya, perjalanan berkenaan turut memberi peluang kepada barisan kepimpinan negeri melihat sendiri kemajuan projek ECRL yang dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi, jaringan pengangkutan serta hubungan antara negeri.
"Kemudahan berkenaan diharap dapat membuka lebih banyak peluang dan membawa manfaat besar kepada rakyat serta Negeri Kelantan apabila beroperasi sepenuhnya kelak, " katanya, di media sosial,hari ini.












