Kelantan teliti prestasi SUKMA 2026, persiapan hadapi temasya akan datang – YB Zamakhshari
-
17 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
29
KOTA DARULNAIM, 17 November – Kerajaan Negeri Kelantan meneliti prestasi kontinjen negeri sepanjang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sebagai langkah mengenal pasti pencapaian atlet, isu berbangkit serta aspek yang perlu diberi perhatian bagi menghadapi temasya akan datang.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri Kelantan yang dipengerusikannya, semalam.
Menurutnya, penilaian tersebut turut melibatkan sesi post-mortem bagi mengenal pasti perkara yang memerlukan penambahbaikan berdasarkan prestasi kontinjen negeri dalam temasya berkenaan.
“Antara perkara yang dibincangkan ialah penilaian prestasi kontinjen Kelantan sepanjang SUKMA 2026, termasuk pencapaian atlet, isu-isu berbangkit serta perkara yang perlu diberi perhatian melalui sesi post-mortem,” katanya di laman rasmi, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, perancangan awal menghadapi SUKMA akan datang turut diberi perhatian, khususnya melibatkan pembangunan sukan berprestasi tinggi, penambahbaikan fasiliti dan kemudahan sukan serta pendedahan atlet kepada kejohanan di luar negeri dan peringkat antarabangsa.
Tambahnya, Majlis Penyampaian Insentif kepada atlet yang mencapai kejayaan juga akan diadakan dalam masa terdekat sebagai penghargaan terhadap usaha dan pengorbanan mereka mengharumkan nama Kelantan.
“Insya-Allah, segala perkara yang dibincangkan akan diteliti dan diambil tindakan sewajarnya sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran SUKMA akan datang,” ujarnya.










