Accessibility Tools

Skip to main content

Legasi pemikiran Tok Guru Nik Aziz perlu diperluas ke seluruh negara

  • 17 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
  • 26

KOTA BHARU, 17 November - Legasi pemikiran dan kepimpinan Allahyarham Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu diperluas ke seluruh negara, khususnya dalam aspek pendekatan terhadap masyarakat bukan Melayu.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pemikiran tokoh berkenaan perlu terus diselami, prinsip perjuangannya dihayati dan nilai yang dibawanya diteruskan oleh generasi hari ini.

Beliau menegaskan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan pemimpin politik bertaraf murabbi dan pendakwah yang menghabiskan sebahagian besar kehidupannya untuk menyampaikan kefahaman Islam kepada masyarakat.

"Tok Guru merupakan seorang tokoh hebat yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita semua. Ini merupakan satu keberuntungan bagi kita di negeri Kelantan.

"Oleh itu, pemikirannya perlu difahami, prinsip perjuangannya perlu dihayati dan nilai yang dibawanya perlu diteruskan, khususnya apabila kita membincangkan hubungan Tok Guru dengan masyarakat bukan Melayu."

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar Pemikiran Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Masyarakat Bukan Melayu: Pemikiran, Pendekatan dan Kepimpinan 5.0 di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud

Katanya lagi, seminar anjuran Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) itu mempunyai kepentingan besar dari sudut pemikiran, pendekatan dan kepimpinan dalam menggerakkan perjuangan Islam di negara ini.

Beliau berpandangan, hubungan Allahyarham dengan masyarakat bukan Melayu bukan isu kecil kerana ia berkait rapat dengan kefahaman terhadap Islam, pelaksanaan tanggungjawab dakwah serta usaha membina negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Allahyarham sentiasa berpegang teguh kepada prinsip agama dalam setiap tindakan dan tutur katanya, termasuk ketika menyantuni masyarakat bukan Melayu.

"Daripada sikap ini kita dapat melihat bahawa pendekatan yang dibawa oleh beliau sentiasa segar dan buah fikirannya amat bernas kerana ia bersendikan hujah al-Quran dan as-Sunnah," jelasnya.

Tambahnya, kemajmukan kaum dalam kehidupan masyarakat adalah lumrah yang ditetapkan Allah SWT. Perkara itu turut dapat ditelusuri menerusi sirah Nabawi yang memperlihatkan kepelbagaian masyarakat di Madinah al-Munawarah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.

Beliau turut berharap seminar yang memasuki siri kelima itu dapat terus meneroka kelebihan serta kebolehan alami yang bersebati dalam diri (malakah) yang dianugerahkan Allah SWT kepada Allahyarham sepanjang 23 tahun menerajui Kelantan.

Beliau mengabsahkan signifikan seminar tersebut sebagai langkah memperluas legasi Allahyarham ke seluruh negara selain menjadi panduan dan persediaan untuk menerajui pentadbiran negara.

"Legasi tersebut semestinya mempertahankan kekuatan utama yang terdapat pada keperibadian beliau iaitu penguasaan yang tinggi terhadap al-Quran dan hadis serta sirah Nabawi yang menjadi penentu hala tuju pemikiran, pendekatan dan kepimpinan beliau," tegasnya.

Seminar Pemikiran Tok Guru 5.0 menampilkan tiga pembentang iaitu Pengarah IPTG, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Johari Mat, Penulis Buku Dr. Ann Wan Seng dan Pendakwah Firdaus Wong Wai Hung manakala mantan Menteri Besar Kelantan YB Dato' (Dr) Ahmad Yakob menyampaikan ucaptama.

Turut dilancarkan buku 'Kenapa Saya Tidak Masuk Kristian' karya Allahyarham Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang YB Tuan Zawawi Ghazali, YB Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Pengarah IPTG Prof. Emeritus Dato' Dr. Johari Mat, Timbalan Pengarah IPTG Zulkifli Mat Yusof, Ahli-ahli Dewan Negeri (ADN) Ahli-ahli Dewan Rakyat (ADR), Ahli-ahli Lembaga Pengarah IPTG dan Puan Sri Datin Bentara Setia Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Pautan berjaya disalin!