Accessibility Tools

Skip to main content

Pembukaan LTU Pakej 3J permudah perjalanan rakyat Kelantan

  • 17 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Dr Izani
  • 30

KOTA DARULNAIM, 17 November - Pembukaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3J sepanjang 6.95 kilometer bermula 13 November lalu menjadi satu lagi perkembangan penting dalam usaha melengkapkan jaringan perhubungan antara Pantai Timur Semenanjung dengan Lembah Klang dan ibu negara.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin berkata, pembukaan laluan berkenaan bukan sahaja memberikan kemudahan kepada pengguna jalan raya, malah menjadi pencapaian penting dalam merealisasikan jaringan lebuh raya yang lebih cekap, lancar dan selesa.

Katanya, kemudahan itu memberi manfaat besar kepada rakyat Kelantan, khususnya anak perantauan yang sering berulang-alik antara Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur.

"Dengan jaringan jalan raya yang semakin baik, masa perjalanan dapat dikurangkan, keselesaan pemanduan dapat ditingkatkan dan perjalanan pulang ke kampung halaman menjadi lebih mudah, khususnya menjelang musim perayaan," katanya di media sosial,pada Isnin.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berharap Kementerian Kewangan memberikan perhatian serius terhadap kelulusan pelaksanaan semula LTU Pakej 3B dan 3C bagi memastikan kerja pembinaan dapat disambung.

Menurutnya, proses pemilihan kontraktor bagi kedua-dua pakej berkenaan dimaklumkan sudah selesai di peringkat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kini hanya menunggu kelulusan Kementerian Kewangan.

Beliau berharap kelulusan itu dapat diperoleh menjelang penghujung tahun ini atau sekurang-kurangnya sebelum musim perayaan tahun hadapan.

Katanya lagi, perkara itu penting bagi memastikan kesinambungan pembinaan semua pakej LTU dapat dilaksanakan tanpa jurang yang berpanjangan.

"Kita mahu setiap pakej saling berhubung dengan sempurna, sekali gus memastikan keseluruhan jajaran LTU dapat disiapkan mengikut perancangan dan sasaran yang telah ditetapkan," jelasnya.

Pautan berjaya disalin!